KUALA LUMPUR - Pembangunan sistem perakaunan akruan Kerajaan Negeri (iSPEKS) lewat satu hingga lima tahun dan tidak dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 Siri 1 yang dikeluarkan pada Selasa, maklumat penyata kewangan Kerajaan Negeri asas tunai ubah suai yang dijana melalui iSPEKS dan maklumat yang dikemukakan untuk diaudit adalah berbeza.
"Perkara ini disebabkan pelarasan yang dibuat Perbendaharaan Negeri terhadap penyata kewangan janaan iSPEKS menggunakan platform sokongan lain.
"Selain itu, laporan asas akruan belum dibuat semakan untuk disahkan ketepatannya," menurut laporan itu.
Laporan itu mendedahkan terdapat juga beberapa kelemahan sistem dari segi kawalan aplikasi yang tidak selaras dengan peraturan ditetapkan.
Katanya, kelewatan dalam go-live iSPEKS di 11 Kerajaan Negeri berlaku antara bulan Januari 2017 hingga April 2021 berbanding sasaran go-live asal pada 1 Januari 2016.
Malah terdapat pertambahan kos kepada kerajaan berjumlah RM3.12 juta bagi melanjutkan tempoh kontrak perkhidmatan penyelengaraan di samping pertambahan kos pembangunan RM13.30 juta atau 58.3 peratus daripada kos asal pembangunannya kerana penambahan skop kerja.
Bagi mengatasi kelemahan tersebut, laporan itu mengesyorkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) memantau perancangan pembangunan sistem, kemajuan sebenar dan pelaksanaan go-live sistem dengan lebih teliti bagi mengelak kelewatan ketara dan pertambahan kos kepada kerajaan.
"JANM perlu melaksanakan pengujian di peringkat pembangunan dengan lebih teliti dan menyeluruh bagi memastikan ketepatan angka laporan yang dijana melalui iSPEKS dan menyediakan pengurusan kawalan aplikasi yang efektif bagi menjamin keselamatan dan integriti data," kata laporan tersebut. - Bernama