Caj air mentah: Kedah beri kata dua kepada Pulau Pinang

Iklan
Gambar dari kiri: Mohd Azam, Hanif

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat menyarankan agar Kedah memberi kata dua kepada Pulau Pinang berkaitan tuntutan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun.

Beliau berkata, memandangkan tuntutan sebelum ini tidak diendahkan negeri jiran itu, ada keperluan untuk Kedah mendesak Pulau Pinang membuat pilihan atas tawaran yang dikemukakan Kedah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemungkinan selepas Pulau Pinang diberikan hanya dua pilihan, negeri itu akan lebih serius membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Sebelum ini kerajaan negeri Kedah sudah buat tawaran pada nilai RM50 juta setahun, adakah kita perlu desak Pulau Pinang dengan beri tempoh tertentu terhadap tawaran itu, mungkin sehingga hujung tahun ini.

Iklan

"Sekiranya melebihi tempoh, kita naikkan nilai tuntutan kepada RM100 juta menyamai nilai tuntutan pajakan Pulau Pinang kepada Kerajaan Persekutuan. Mungkin mereka akan fikir dua kali mahu ambil RM50 juta atau RM100 juta.

"Itulah nilai sebenar bekalan air mentah yang Kedah alirkan ke Pulau Pinang melalui Sungai Ulu Muda,” katanya ketika mencelah sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Kedah oleh Hanif Ghazali (Pas-Tanjung Dawai) di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pada Selasa.

Sebelum itu, Hanif turut mempersoal kedegilan Pulau Pinang untuk memenuhi tuntutan Kedah yang sudah berlarutan lama.

Iklan

"Kita buat baik lama dah tapi tidak dihargai, kita korban tenaga, bantu mereka (Pulau Pinang) dapat pelaburan banyak tapi apa yang mereka bagi pada Kedah?

"Kalau mereka sanggup nak beli air dari Perak, sepatutnya mereka jaga apa yang dimiliki sekarang,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Pulau Pinang memiliki simpanan air paling banyak, iaitu 30 peratus berbanding Kedah hanya 2.3 peratus.

"Kalau lima Loji Rawatan Air (LRA ) baharu siap pun, naik kepada 10 peratus simpanan air Kedah, namun Pulau Pinang tidak pernah bantu kita untuk kekalkan bekalan air agar terjamin pada masa depan.

"Tuntutan kita ini bukan sahaja dituntut oleh rakyat dan Dewan ini, bahkan dipersembahkan oleh Tuanku Sultan Kedah dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja dengan menyerahkan bukti dokumen kepada kerajaan Persekutuan bahawa Pulau Pinang milik Kedah. Jadi wajar Kedah dibayar nilai yang sepatutnya,” katanya lagi.

Kerajaan Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah RM50 juta setahun, berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang dilihat tidak mahu melayan tuntutan itu menyebabkan Kedah melantik panel peguam untuk menguruskan tuntutan tersebut.