Memorandum guna ketum, hemp, kanabis diserah kepada PM minggu depan

Iklan
Datuk Zahidi (empat dari kiri ) menerima Memorandum Dapatan Forum Awam: Masa Depan Mampan Industri Perubatan Kanabis, Hemp dan Ketun di Malaysia daripada Cheras Pinang Sdn Bhd pada Selasa.

SHAH ALAM – Memorandum berkaitan cadangan penggunaan ketum, hemp dan kanabis dalam perubatan dijangka diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu hadapan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, hasil dapatan kajian yang diperoleh menerusi forum yang dianjurkan pada tahun lepas itu akan turut diserahkan kepada Menteri Kesihatan dan Menteri Dalam Negeri.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, memorandum itu adalah langkah pertama dalam usaha untuk menjadikan tanaman kanabis, hemp dan ketum sebagai produk tanaman komoditi negara.

"Tindakan segera untuk memperoleh kebenaran mengeksport bahan itu ke luar negara perlu bagi mengelak Malaysia ketinggalan dalam mempatenkan bahan itu.

"Sekarang ini agensi dadah antarabangsa daripada Amerika Syarikat (AS) dan Jerman dalam proses untuk mempatenkan ketum, kalau lambat dapat kebenaran, maka kita akan rugi.

Iklan

"Kalau lambat patenkan kita yang tanam ketum ini terpaksa mengeluarkan sejumlah bayaran yang tinggi untuk mengeksport ke luar negara walhal mereka tidak tanam pun ketum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Penyerahan Memorandum Dapatan Forum Awam: Masa depan mampan industri perubatan kanabis, hemp dan ketum di Malaysia pada Selasa.

Iklan

Zahidi menambah, hasil kajian mengenai keberkesanan ketum dalam perubatan juga akan diserahkan kepada setiap menteri besar.

"Kita akan berjumpa setiap menteri besar dan kemukakan laporan perubatan daripada universiti contohnya Universiti Thailand yang memberi laporan ketum bagus untuk saraf.

"Universiti Sains Malaysia (USM) juga ada buat kajian dan banyak kajian kita akan kemukakan,” katanya.

Zahidi berkata, akta sedia ada juga tidak membenarkan ketum dieksport ke luar negara.

"Kalau boleh kita nak ubah akta kita kena bincang dengan Peguam Negara.

"Sekarang ni kalau kita nak pinda akta boleh, kita akan beri penerangan kepada ahli Parlimen dahulu. Kalau 115 ahli Parlimen setuju, kita dapat ubah akta.

"Apa yang penting tujuan kita buat ini untuk membantu petani-petani di kawasan Parlimen masing-masing,” katanya.

Pada 16 Disember sebuah laporan kajian mengenai kebaikan dan manfaat kanabis, hemp serta ketum dan memorandum telah diserahkan kepada Zahid di forum terbuka yang diadakan di sebuah hotel diguna Kuala Lumpur.