MELAKA - Penyanyi rock, Datuk Awie menganggap tindakan pelakon Zul Ariffin memuat naik video adegan panas sebuah drama sebagai tidak wajar dan mencalarkan imej industri hiburan tempatan yang berkonsepkan Islam.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, Zul Ariffin sepatutnya boleh membuat keputusan menolak adegan yang boleh mencetuskan kontroversi serta mudah tular di media sosial pada masa kini.
"Pada saya dia mencontengkan arang ke muka industri yang berkonsepkan Islamik.
"Industri kita tidak berada pada tahap terbuka seperti itu," katanya.
Awie berkata demikian ketika sidang akhbar Wings Raikan Cinta Ramadan di LaCrista Hotel Melaka di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Urusan Hotel LaCrista, Datuk Rosthman Ibrahim.
Zul Ariffin yang terbabit dengan perkongsian video memaparkan adegan panas sebuah drama bakal berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas membuat hantaran Instagram yang menyalahi undang-undang.
Mengulas lanjut Awie menyarankan pengarah-pengarah produksi filem mahupun drama memainkan peranan penting bagi mengelakkan lakonan babak panas secara fizikal.
Dalam perkembangan lain, Awie bersama Wings akan meneruskan misi berdakwah pada bulan Ramadan ini menerusi persembahan Raikan Cinta Ramadan pada 15 April di Johor Bharu dan 16 April di LaCirsta Hotel, Melaka.
Menurutnya, pengisian program merangkumi tazkirah solat Maghrib, Isyak dan solat Tarawih berjemaah selain penyampian sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf.
"Nyanyian persembahan berkisarkan ketuhanan, kemanusiaan dan kemasyarakatan dan diharap peminat dapat menghayati bait-bait lirik dalam suasana ketenangan.
"Kita juga yakin pihak hotel akan menambah baik aspek keselamatan termasuk menambah bilangan pengawal keselamatan bagi memastikan program berjalan lancar dan tidak berlaku insiden seperti tahun lalu," katanya.