SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah@Karangkraf beri peluang orang ramai untuk merasai suasana berbuka puasa seperti berada di Masjid Nabawi menjelang Ramadan tahun ini.
Program di bawah naungan Sinar Harian bersama Karya Bestari dan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu diadakan bermula 4 April hingga 29 April ini bertempat di Dataran Karangkraf, Shah Alam.
Ketua Projek, Firdaus Hussamuddin berkata, pelaksanaan program itu bertujuan memberi peluang terutamanya kepada golongan yang memerlukan untuk datang berbuka puasa di Dataran Karangkraf secara percuma selama 29 hari.
Menurutnya, ramai pihak yang terjejas terutama dari segi pendapatan susulan penularan Covid-19 hingga ada yang dibuang kerja, ditambah pula kos sara hidup dan harga makanan yang semakin meningkat ketika ini.
"Dalam masa sama, kami turut menggalakkan mereka yang berkeluarga untuk datang berbuka puasa di sini dan mereka juga boleh membawa makanan sendiri untuk berkongsi bersama-sama dengan kita serta orang awam.
"Kalau boleh, kita nak mereka duduk satu keluarga, tapi yang mana datang secara bersendirian atau dengan kawan, akan diasingkan ikut Muslimin dan Muslimat.
"Yang penting kita nak wujudkan kembali suasana berbuka ala Madinah dan Mekah, untuk mereka yang merindukan kemeriahan dan suasana Ramadan itu sendiri, maka kita bawa konsep ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Firdaus yang juga merupakan Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf berkata, menariknya program kali ini, orang ramai akan disajikan dengan pengisian tazkirah berdekatan masjid sementara menunggu waktu berbuka puasa.
"Di samping itu, ada beberapa imam kita daripada Karya Bestari dan WUIF yang akan bergilir setiap hari untuk bacaan tazkirah dan mengimamkan solat maghrib dan solat terawih sepanjang program berlangsung,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut mengalu-alukan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat dan individu perseorangan yang ingin berinfaq bersama-sama untuk membantu mereka yang berada dalam kesempitan hidup.
"Kita juga galakkan pihak lain yang ingin sertai kita untuk memberi infaq makanan, barangan atau berbentuk wang tunai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun SINAR KARANGKRAF SDN BHD 564276 529068 (Maybank)," jelasnya.
Firdaus turut mengajak mana-mana individu yang ingin menjadi sukarelawan bagi mengendalikan program berkenaan boleh berbuat demikian dengan menghubungi sekretariat di talian 0192133315.
"Orang ramai yang ingin turut serta dalam program berbuka puasa ala Madinah ini perlu membuat pengesahan kehadiran jam 10 pagi sehari sebelumnya di talian yang sama,” katanya.