Tidak sesuai komersial, eksport daun ketum ketika ini

Iklan
Dr Ismail Salleh

ALOR SETAR - Cadangan mengkormesialkan dan mengeksport daun ketum untuk tujuan perubatan ke Thailand tidak bersesuaian untuk dilaksanakan ketika ini berikutan kelemahan akta berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh berpandangan, ia hanya boleh dilaksanakan selepas akta berkaitan diperketatkan dan satu jawatankuasa ditubuhkan bagi mengawal tanaman itu.

Iklan
Iklan

"Jadi sebab itu, saya rasa cadangan daripada untuk cadangan Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) untuk mengkomersil ketum ini, saya rasa boleh.

"Tetapi bermula dengan ketatkan akta, tebang semua (pokok ketum) dahulu dan (wujudkan) jawatankuasa di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebagaimana dengan cadangan nak buat ladang ‘hemp’ dahulu," katanya.

Iklan

Dr Ismail berkata sedemikian ketika membahaskan titah Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian berkaitan boleh melantik agensi tertentu untuk menguruskan ladang ketum ini dengan kawalan ketat.

Iklan

"Ladang itu dikawal 100 peratus dan tiada sesiapa boleh masuk (dipasang) dengan pagar elektrik. Jadi, inilah yang kita boleh diambil untuk buat bahan perubatan dengan mengekstrak bahan dalam daun ketum tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Dr Ismail tidak bersetuju tanaman berkenaan dikomersialkan dalam keadaan sekarang dengan undang-undang sedia ada agak 'longgar'.

"Dalam keadaan sekarang, saya rasa untuk kita melonggarkan saya tidak setuju. Apabila kita nak eksport ke Thailand, sudah tentu penanam-penanam itu rasa seronok dan menanam pokok tersebut.

"Ia akan menjadi ruang berlaku penagihan yang lebih yang lebih teruk di kalangan anak-anak dan pelajar sekolah," katanya.

Sehubungan itu Dr Ismail menegaskan, Akta Racun 1952 yang mengawal selia ketum perlu dipinda dengan memasukkan hukuman yang lebih berat terhadap aktiviti penyalahgunaan daun ketum dan penagihan.

Tambah beliau, Akta Racun 1952 seharusnya dipinda, diperkemaskan dan diperketatkan terlebih dahulu sebelum kawalan dilaksanakan, sebagaimana KMM kawal siapa yang boleh guna morphine untuk tujuan perubatan iaitu pengamal perubatan.