THT juara Liga Hoki Malaysia 2022

Iklan
Pemain THT, Mohd Fitri Saari (dua dari kiri) diasak oleh pemain Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada saingan TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022 di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB) pada Selasa. Foto: Bernama

KUALA TERENGGANU - Terengganu Hockey Team (THT) muncul juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022 selepas menundukkan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Hoki Batu Buruk, petang Selasa.

Ia adalah gelaran kedua yang dirangkul The Turtle musim ini selepas Piala Sumbangsih pada 18 Februari lepas, juga selepas menundukkan TNB 3-2.

Iklan
Iklan

Beraksi di laman sendiri, THT terlebih dahulu dikejutkan gol awal TNB pada minit ke-11 yang diperoleh melalui pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan sebelum disempurnakan Azril Masron.

Pasukan tuan rumah yang tersentak kemudian bangkit menggandakan asakan dan usaha memburu gol penyamaan akhirnya berjaya diperoleh pada minit ke-30.

Iklan

Gol tersebut yang berpunca daripada pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Muhammad Firdaus Omar yang menolak mudah hantaran Muhammad Arif syafie Ishak ke gawang gol.

Memasuki suku keempat, THT yang semakin bertenaga meneruskan asakan dan meledak gol kedua pada minit ke-48 menerusi pukulan kencang penyerang sensasinya yang juga bekas pemain kebangsaan, Faizal Saari.

Ketika kemenangan kelihatan seakan berpihak kepada The Turtle, TNB kembali mengatur serangan dan berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-54 untuk mengikat kedudukan 2-2 menerusi gol padang Muhammad Shahril Saabah.

Iklan

Bagaimanapun sorakan penyokong tuan rumah mengangkat semangat THT untuk mencari jaringan kemenangan.

Ketika permainan berbaki tiga minit, Faizal muncul wira THT apabila meledak gol ketiga sekali gus meletakkan pasukannya di tangga teratas liga dengan 32 mata. - Bernama