ESOK (Rabu), skuad Harimau Malaya akan membuka lembaran baharu dengan menentang Filipina pada aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1, sekali gus bermulanya era Ketua Jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, mengemudi pasukan kebangsaan.
Selepas bertemu skuad ‘Azkals’ yang menghuni ranking dunia lebih tinggi di kedudukan ke-129, pasukan negara dijadual berdepan Singapura (ke-161) pada aksi berstatus sama bagi melengkapkan saingan Siri Tiga-Negara FAS yang berlangsung di republik itu.
Kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Nasional di Singapura itu adalah medan sulung Pan Gon dalam misinya mengubah nasib pasukan negara, selain mengembalikan semula kepercayaan peminat terhadap skuad kebangsaan dan barisan pemain.
Kemenangan ke atas Filipina dan Singapura dianggap penting bagi pasukan negara yang kini berada di ranking ke-154 dunia, terutama selepas pencapaian kurang memberangsangkan sepanjang tahun lepas dengan kemuncaknya adalah kegagalan di Kejuaraan Piala AFF 2020, Disember lepas.
"Skuad kebangsaan perlu buktikan yang pertama sekali terdapat sinar dan perubahan biarpun kita tak boleh terlalu mengharapkan apa yang boleh dilakukan Pan Gon, tetapi kita nak nampak perbezaan dari segi corak permainan dan disiplin permainan pemain.
"Perkara kedua sudah tentu kita mahukan kemenangan dalam aksi persahabatan berdepan Singapura walaupun kita tahu Singapura sekarang bukan pasukan yang boleh kita pandang mudah," kata penganalisis sukan dan pemerhati bola sepak tempatan Dr Pekan Ramli.
Pekan berpendapat Pan Gon juga perlu mengelakkan daripada mencatat sebarang kekalahan dalam dua aksi itu selepas beliau membangkitkan persoalan mengapa Malaysia gagal menjuarai Kejuaraan Piala AFF dan berpandangan pasukan negara sepatutnya muncul juara kejohanan dwitahunan itu.
Menurut Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi itu, beliau percaya pasukan negara tidak sepatutnya tewas dalam kedua-dua aksi persahabatan itu, namun menjangkakan skuad bimbingan Pan Gon sekurang-kurangnya mampu membawa pulang satu kemenangan dan satu keputusan seri.
"Saya rasakan kita boleh menang dengan SIngapura, mungkin dengan Filipina agak sukar, kalau Filipina turunkan kesebelasan utamanya saya rasa susah juga kita nak menang dalam peringkat kita masih baru dalam proses pembentukan pasukan,” katanya.
Sementara itu, bagi Pekan, apa yang perlu difokuskan Pan Gon pada saingan Siri Tiga-Negara FAS itu adalah membentuk kembali semangat berpasukan kerana tanpa elemen tersebut, usaha mencipta corak permainan yang baik dan keputusan positif tidak akan berhasil.
Selain itu, Pekan berpendapat, menerapkan tahap disiplin permainan yang tinggi sebagai antara perkara penting yang turut perlu diberikan perhatian oleh Pan Gon.
"Disiplin permainan pemain-pemain merangkumi dari segi apa elemen yang diterapkan Pan Gon untuk memastikan setiap pemain mengikut (arahannya). Jangan jurulatih cakap lain pemain pula main ikut cara mereka, kita nak nampak perubahan ketara di situ," jelasnya.
Semalam, Pan Gon mengumumkan senarai 25 pemain yang dibawa ke Singapura dan beliau berjaya mengumpulkan hampir kesemua pemain tempatan terbaik negara, selain dilengkapi pemain berdarah kacukan Dion Cools serta dua pemain naturalisasi Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh.
Beliau juga membawa beberapa pemain muda sensasi negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Muhammad Ramadhan Saifullah Usman, justeru memberi mereka peluang membuktikan kehebatan dimiliki masing-masing.
Sebagai rekod, Malaysia tewas 0-1 pada aksi terakhir menentang Singapura iaitu pada Kejohanan Piala Airmarine 2019, manakala rekod dengan Filipina adalah seri 0-0 dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan menerusi perlawanan persahabatan pada 2017.
Pasukan bimbingan Pan Gon akan menamatkan siri perlawanan persahabatan di Singapura, yang juga persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 Jun ini, dengan bertemu kelab tempatan Albirex Niigata FC pada 28 Mac ini. - Bernama