PEMINAT bola sepak tanah air diminta bersabar dengan proses ‘penambahbaikan’ yang sedang dilakukan barisan kejurulatihan Harimau Malaya diketuai pengendali baharu, Kim Pan-gon.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu berkata, barisan pemainnya masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan strategi taktikal dan permainan yang baharu.
"Latihan dan permainan sebenar sangat berbeza. Saya dapat lihat kualiti mereka tetapi kita perlu bersabar, pemain bukan mesin, mereka manusia.
"Mereka juga perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan maklumat baharu pada sesi latihan. Kita berkomunikasi dengan baik untuk membantu mereka.
"Saya sudah melihat kualiti mereka. Kita perlu menunggu dan bimbing mereka dengan cara yang betul,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Selasa.
Pan-gon dan barisan kejurulatihannya mula menilai prestasi Harimau Malaya sepanjang kem latihan pusat selama lapan hari di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang berakhir pada Isnin.Kem latihan itu diadakan sebagai persiapan menghadapi tiga perlawanan persahabatan di Singapura selain persediaan awal bagi menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.
Untuk rekod, Malaysia dijadual menentang Filipina pada Rabu sebelum berdepan Singapura (Sabtu) dengan kedua-dua aksi itu berstatus perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1.
Selepas menentang Filipina dan Singapura, Harimau Malaya akan menamatkan siri aksi persahabatan di Singapura bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC pada 28 Mac.
"Dalam sesi latihan sebelum ini, kami bukan sahaja menekankan aspek taktikal semata-mata, tetapi turut memberikan fokus kepada pembinaan keseluruhan pasukan.
"Kami mahu lihat mereka bermain sebagai satu unit dan bermain lebih yakin di atas padang. Kami percaya pemain boleh tunjukkan corak permainan seperti yang sudah dirancang sebelum ini.
"Jadi saya teruja untuk menyaksikan apa yang akan berlaku dan mahu lihat bagaimana mereka membawa apa yang diperoleh pada sesi latihan ke aksi sebenar,” ujar Pan-gon.