Hargai air demi survival kehidupan

Iklan
Praktis amalan menjimatkan air agar dapat mengurangkan penggunaan tenaga, sekali gus memelihara alam sekitar dan membantu menangani perubahan iklim.

TIDAK dapat dinafikan air adalah sumber semula jadi yang memainkan peranan amat kritikal dalam kehidupan setiap benda hidup, tanpa air segalanya terbatas.

Daripada mencuci pakaian dan memasak untuk keluarga di rumah hingga ke fungsi berskala besar seperti kegunaan dalam sektor perindustrian dan perkilangan, air adalah komoditi amat berharga.

Iklan
Iklan

Disebabkan kegunaannya yang terlalu pelbagai, setiap tahun pada tarikh 22 Mac sejak 1993, kita menyambut Hari Air Sedunia bagi meraikan kepentingan air.

Hari Air Sedunia turut fokus terhadap tindakan bagi menangani krisis air global, selain berkempen meningkatkan kesedaran tentang 2.2 bilion orang yang hidup tanpa akses air bersih.

Iklan

Isu lain yang berkaitan dan menjadi tumpuan termasuk kekurangan air, pencemaran air, bekalan air yang tidak mencukupi, kekurangan sanitasi dan kesan perubahan iklim.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), teras utama Hari Air Sedunia adalah bagi menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 6: Air dan Sanitasi Untuk Semua Menjelang 2030.

Iklan

Dalam pada itu, dengan bertemakan ‘Groundwater, Making the Invisible Visible’, Hari Air Sedunia untuk 2022 memberi fokus kepada air bawah tanah yang juga sumber penting membekalkan hampir separuh daripada semua air yang boleh diminum di seluruh dunia.

Untuk rekod, air masin walaupun membentuk sebahagian besar air di planet ini, ia tidak sesuai untuk kegunaan manusia, manakala 99 peratus daripada air tawar boleh guna adalah air bawah tanah yang mempunyai kelebihan kualiti tinggi dan memerlukan tahap rawatan sangat rendah.

Air bawah tanah adalah air yang ditemui bawah tanah di akuifer ( pembentukan geologi batu, pasir dan kerikil yang menampung kuantiti air yang banyak) dan boleh diekstrak ke permukaan menggunakan pam dan telaga. Antara kepentingan air bawah tanah termasuk membekalkan sebahagian besar air yang digunakan untuk minuman, sanitasi, penghasilan makanan dan proses industri.

Pendek kata, kehidupan terutama di kawasan gersang dan kontang amat bergantung kepada air bawah tanah. Malah, ia juga penting untuk fungsi ekosistem seperti tanah lembap dan sungai. Menariknya, menurut laporan PBB, Rantau Asia dan Pasifik mempunyai ketersediaan air per kapita terendah di dunia dengan penggunaan air bawah tanah di rantau itu diramalkan meningkat 30 peratus menjelang 2050.

Ia sekali gus menjadi alasan kukuh untuk masyarakat seluruh dunia memainkan peranan lebih komprehensif dalam memelihara sumber air yang satu ini daripada eksploitasi berlebihan dan pencemaran yang boleh menjurus kepada pelbagai implikasi buruk termasuk kehabisan sumber.

Langkah seperti meneroka, melindungi dan penggunaan air bawah tanah secara mampan adalah penting untuk memastikan survival serta adaptasi terhadap perubahan iklim, selain memenuhi keperluan populasi yang semakin berkembang.

Berbalik kepada kepentingan air sebagai nadi kehidupan, kelestarian sumber air harus dijadikan keutamaan di setiap negara bagi memastikan air yang mencukupi dan selamat untuk kegunaan semua.

Di Malaysia, pelbagai laporan menunjukkan sumber air berdepan ancaman seperti banjir, kemarau, pencemaran dan kesan perubahan iklim yang memerlukan rehabilitasi segera. Mengambil kira penduduk Malaysia yang semakin bertambah setiap tahun dan dijangka mencapai 43 juta orang pada 2050, air dan sumbernya amat perlu dilindungi.

Justeru, Dasar Sumber Air Negara (DSAN) bagi tempoh 2010 hingga 2050 diluluskan pada 2012 bagi memastikan bekalan air negara terjamin dalam era pembangunan ekonomi, khususnya sektor pertanian dan perindustrian, pertumbuhan perbandaran serta pertambahan penduduk pesat.

Malah, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Unit Perancang Ekonomi merangka Pelan Transformasi Sektor Air 2040 dalam inti pati Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk menjadikan sektor air sebagai enjin pertumbuhan ekonomi dan Malaysia sebagai hab air serantau menjelang 2040.

Namun, lebih penting adalah amalan pengurusan air yang baik harus bermula di rumah. Praktis amalan menjimatkan air agar pada masa sama kita dapat mengurangkan penggunaan tenaga, sekali gus memelihara alam sekitar dan membantu menangani perubahan iklim.

* Liza Mokhtar ialah wartawan Sinar Premium