WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) belum melihat bukti tentang penghantaran senjata dari China ke sekutunya, Rusia ketika Moscow melancarkan perang di Ukraine, kata seorang pegawai tinggi AS pada Selasa.
Washington telah menimbulkan kebimbangan bahawa Beijing kemungkinan membantu Moscow di tengah-tengah pencerobohannya ke atas Kiev.
Iklan
Iklan
"Kami belum melihat penyediaan peralatan ketenteraan oleh China kepada Rusia. Namun, ia adalah sesuatu yang perlu awasi dengan teliti,"kata Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan.
Presiden AS, Joe Biden membuat panggilan telefon hampir dua jam dengan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping pada Jumaat lalu yang mana Rumah Putih menyatakan bahawa beliau memberi amaran kepada Jinping agar tidak menyelamatkan ekonomi Rusia daripada sekatan Barat atau membantu usaha Rusia dalam perang Ukraine.
"Kami akan terus memantau hal itu dan Presiden menjelaskan kepada Presiden Jinping tentang implikasi dan akibat daripada penyediaan peralatan tersebut dan mereka sangat memahami satu sama lain," kata Sullivan.
Biden sedang bersiap untuk mengunjungi Eropah yang mana beliau akan bertemu dengan para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dan berkumpul dengan sekutunya iaitu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Khamis.
Beliau pasti akan berunding mengenai persoalan kemungkinan penyertaan China dalam konflik Ukraine semasa berada di Brussels, kata Sullivan. - Agensi