KUANTAN - Usia muda tidak membatasi naluri seorang kakak untuk menyelamatkan adiknya yang berusia lapan bulan, dari menjadi mangsa kebakaran di Jalan Murah Beserah di sini, pagi tadi.
Nik Intan Nabila, 8 tahun berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di ruang tamu di sisi adiknya Nik Khairi Aswa, lapan bulan.
"Saya dengar orang jerit api! api! Saya terus angkat adik dan lari keluar rumah,” katanya ketika ditemui di di Tabika Kemas Batu Hitam, di sini, sebentar tadi.
Dalam kebakaran membabitkan dua unit rumah berkeluasan 90 x 90 kaki persegi pagi tadi, 11 individu membabitkan dua keluarga hilang tempat tinggal dan sehelai sepinggang.
Kediaman mereka hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 9 pagi tadi.
Ibu Intan Nabila, Salimah Adam, 33, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah.
Suaminya, Nik Fauzi Izani Rahlim, 37, juga sedang bekerja sebagai pengawal keselamatan di asrama sekolah itu.
"Ada orang datang ke tempat kerja maklumkan rumah saya terbakar, waktu itu, saya cuma teringatkan Intan Nabila dan Khairi.
"Saya terus naik motor melawan arus (jalan raya) sebab nak cepat sampai rumah," katanya.
Katanya, dari luar sudah terlihat api marak dan asap tebal.
"Saya tak boleh nak masuk sebab api dan asap yang tebal. Saya cuma menjerit nama Intan Nabila suruh keluar rumah, sebab ingat mereka masih ada dalam rumah.
"Apabila jiran bagi tahu anak-anak saya dah selamat keluar, saya bersyukur sangat," katanya yang terus memeluk anak-anaknya sambil menangis.
Yang terucap hanyalah syukur kepada ALLAH SWT kerana anak-anaknya selamat.
Dua lagi anaknya, Nik Mas Ayuni,10, berada di sekolah manakala dan Nik Iman Hairil, 5, dibawa ke tempat kerja.
Menurut Salimah, Intan Nabila seorang kakak yang bertanggungjawab dan selalu menjaga adiknya.
"Dia rajin tolong saya buat susu dan sangat sayangkan Khairi.
"Pada waktu kejadian, jiran kata apabila mereka menjerit ada kebakaran, mereka nampak Intan Nabila berlari keluar dari rumah sambil dukung adik (Nik Khairi).
"Dialah hero kami sekeluarga. Kalau dia panik dan tinggalkan Khairi, saya tak tahu apa akan berlaku,” luahnya.
Mereka sekeluarga terpaksa bermalam di tabika tersebut buat sementara waktu.
Sementara itu, jiran Salimah, Normah Hamid, 49, dan suaminya, Bahrain Mat Deris, 58, kerugian 100 peratus apabila rumah mereka turut hangus dalam kebakaran tersebut.
Ketika kejadian, Normah dan suaminya serta dua anak berusia 19 dan 20 tahun tidak berada di rumah kerana bekerja, manakala anak bongsu berusia 17 tahun bersekolah.
"Lepas dimaklumkan jiran rumah kami terbakar, cepat-cepat bergegas balik.
"Bila sampai di rumah, tiada apa yang dapat diselamatkan kerana api marak, dua buah motosikal juga hangus,” kata Bahrain.
Dalam pada itu, ADUN Berserah, Andansura Rabu berkata, bantuan kilat diberikan kepada kedua-dua keluarga dan pihaknya telah berhubung dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengenai keperluan utama mangsa iaitu pakaian, makanan dan tempat tinggal."Kita bagi sumbangan kepada kedua-dua keluarg, saya minta MPKK aturkan keperluan mereka, dari sudut rumah sewa.
"Pada masa ini, sebuah keluarga ditempatkan di dewan tabika manakala sebuah keluarga lagi tinggal dengan keluarga mereka yang berdekatan,” katanya.
ADUN Semambu, Lee Chean Chung turut menziarahi kedua-dua keluarga mangsa dan menghulurkan sumbangan.
"Bantuan asas telah diberikan.
"Kami bawa keperluan asas dan makanan untuk beri kepada keluarga dan pada masa sama menghubungi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bantuan jangka masa panjang,” kata Chean Chung kepada media.