Ujian berganda, rumah terbakar tak sampai seminggu dimasuki pencuri

Iklan
Jahaya (tengah) melihat rumah Marina (kanan) yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tambak Jawa, Jeram pada Isnin.

KUALA SELANGOR - Tidak sampai seminggu kediamannya dimasuki pencuri, seorang pengusaha butik pengantin sekali lagi diuji apabila rumah sewanya itu pula musnah dalam kebakaran di Kampung Tambak Jawa, Jeram di sini pada Isnin.

Marina Mohd Zainol, 43, berkata, kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Larkin Johor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jirannya menghubunginya memaklumkan rumah yang disewanya sejak dua tahun lalu sudah terbakar.

"Saya menetap sementara di Larkin bagi membolehkan suami menjalani dialisis, namun tidak sangka rumah sewa kami terbabit dalam kebakaran," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Marina berkata, lebih menyedihkan apabila barangan di dalam rumah itu kebanyakannya sudah terjual dan menunggu masa untuk dihantar kepada pembeli.

"Tujuan saya pulang ke rumah sewa sebab hendak hantar barang yang sudah dibeli, tetapi malangnya semuanya hangus tidak sempat diselamatkan," ujarnya.

Iklan

Katanya, kejadian itu amat mengejutkan mereka sekeluarga apatah lagi baharu seminggu rumah sama dimasuki pencuri.

"Antara barangan dicuri seperti kamera digital lensa tunggal reflex (DSLR), mesin kimpalan, gas memasak, kamera webcam, televisyen dan mesin pemotong rumput," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, tiada peralatan pengantin yang diambil dalam kejadian itu.

Katanya, selepas kejadian curi itu dia dan suami, Mohd Nizam Samsuri, 42, merancang menjual barangan pelamin.

"Suami terlantar kerana menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap lima. Disebabkan itu, kami mahu jual semua barangan dengan harapan duit berkenaan digunakan bagi pembedahan memasang tapak 'fistula' untuk rawatan dialisis suami.

"Saya reda dengan ujian ALLAH dan buat sementara ini, kami menumpang di rumah ahli keluarga di Larkin," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim berkata, pihaknya simpati dengan nasib yang dialami keluarga terbabit.

Justeru, tegas beliau, siasatan menyeluruh perlu dijalankan pihak berkuasa termasuk kemungkinan berlakunya perbuatan khianat di rumah terbabit.

"Saya meminta pihak berkuasa membuat siasatan lengkap mengenai punca berlakunya kebakaran," katanya.