PENGENDALI Juventus, Massimiliano Allegri mengakui gergasi Serie A itu sedang bersiap sedia dengan peruntukan besar dalam usaha merealisasikan misi membawa masuk penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah ke Turin.
Menurut Allegri, gergasi Serie A itu dilihat terdesak untuk membawa masuk penyerang berusia 29 tahun itu dalam usaha memperkuatkan jentera serangan kelab berkenaan.
"Sejak tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara setelah tewas secara agregat 1-4 kepada Villareal pada pusingan 16, kita memang sangat berharap untuk membawa masuk Salah sekali gus memperkuatkan semula jentera serangan kelab ini.
"Biarpun kita sudah memiliki penyerang Serbia, Dusan Vlahovic, namun kita merasakan jentera serangan kita masih belum menyengat.
"Oleh itu, kehadiran Salah diharap menjadikan jentera serangan kita kembali digeruni seperti kita memiliki Del Piero (Allessandro) suatu ketika dahulu,” katanya.
Untuk rekod, kontrak Salah bersama Liverpool bakal berakhir pada 2023, namun Juventus dilaporkan bersedia untuk mendapatkan penyerang berkenaan lebih awal walaupun terpaksa membayar dengan nilai yang cukup tinggi.
Malah, skuad The Old Lady itu juga bersedia untuk bersaing dengan Barcelona yang turut menunjukkan minat bagi mendapatkan khidmat penyerang kelahiran Mesir itu.
Sementara itu, Allegri berkata, dia tidak dapat memberikan kepastian terhadap masa depan penyerang Paulo Dybala di Turin musim depan setelah kontraknya berakhir pada penghujung musim ini.
Namun pada masa sama, beliau mendedahkan bahawa penyerang Argentina itu juga dilaporkan tidak berminat untuk menandatangani kontrak baharu bersama Juventus.
"Kita tidak pasti mengenai Dybala tetapi setakat ini memang dia tidak menunjukkan minat (menyambung kontrak), tetapi kita tidak tahu, mungkin dengan kehadiran Salah membuatkannya berubah fikiran... itu kita tidak tahu,” ujarnya.