Wajah Haziq tersenyum

Iklan
Zarina menunjukkan gambar arwah Haziq.

ALOR SETAR - Jenazah Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang disahkan terkorban akibat serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, dalam keadaan tersenyum dan umpama tidur.

Ibu saudaranya, Zarina Shuib, 53, berkata, dia dimaklumkan wajah anak saudaranya, Haziq bercahaya ketika jenazah anak kedua daripada empat adik beradik itu diuruskan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka sekeluarga sememangnya sedih menerima berita pemergian Haziq kerana mengharapkannya masih hidup selepas dilaporkan hilang.

"Jikalau diikutkan, saya memang ada menerima makluman berita sedih berkaitan Haziq yang dikongsikan Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh malam tadi melalui aplikasi WhatsApp.

Iklan

"Pada mulanya, saya kurang percaya dia sudah meninggal dunia memandangkan kami sekeluarga masih mengharapkan yang Haziq terselamat dalam insiden tembakan itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia akhirnya percaya apabila menerima ucapan takziah daripada rakan-rakan sebelum menerima maklumat berkaitan arwah Haziq yang disahkan Wisma Putra.

Iklan

Menurutnya, dia memang terkejut dan bersedih apabila menerima perkhabaran itu, bagaimanapun reda dengan pemergian Haziq menghadap Ilahi selepas hampir seminggu dilaporkan hilang.

"Kami sekeluarga sedih namun reda dengan kehilangan Haziq buat selama-lamanya. Mungkin, sudah sampai masanya dia pergi dan ketentuan ALLAH SWT.

"Sebelum ini, kami ingat dia masih hidup. Tapi, nak buat macam mana... kami terpaksa menerima dengan tabah dengan kejadian berlaku," katanya.

Menurutnya, anak saudaranya juga meninggal dunia dalam keadaan masih berwudhu dan ketika menunaikan solat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang (waktu tempatan), lebih 50 maut dan lebih 50 lagi cedera akibat tembakan rambang berdekatan Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch.

Empat rakyat Malaysia disahkan terlibat dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada Jumaat lepas, tiga daripadanya cedera Mohd Tarmizi Shuib, Rahimi Ahmad dan Nazril Hisham Omar, sementara anak kedua Tarmizi, Haziq Tarmizi, 17, dilaporkan hilang dalam kejadian tembakan itu.