RUU anti lompat parti cetus perdebatan

Iklan
Persidangan Dewan Rakyat. - Foto Bernama

KEGAGALAN kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) anti lompat parti sepertimana dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang pada September lalu telah mencetuskan perdebatan hangat di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ia berikutan rata-rata ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mahu RUU tersebut dibentangkan segera di Dewan Rakyat.

Iklan
Iklan

Sebelum ini Pakatan Harapan (PH) sudah pun memberi amaran untuk membatalkan MoU yang ditandatangani bersama kerajaan sekiranya RUU Anti Lompat Parti tidak dibentangkan seperti yang dijanjikan.

Susulan itu, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) ketika membahaskan RUU Perbekalan Tambahan (2021) 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa menegaskan, perkara itu perlu disegerakan kerana rakyat semakin hilang kepercayaan kepada sistem Parlimen dan demokrasi negara serta sesetengah pemimpin terutama yang terlibat 'Langkah Sheraton'.

Iklan

Beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu turut memberi bayangan bahawa kemungkinan akan ‘turun ke jalanan’ bersama rakan-rakan lain bagi mendesak RUU itu dibentang dan dibahas.

"Bagi memulihkan keadaan ini dan sistem Parlimen demokrasi, akta anti lompat parti mesti disegerakan. Inilah yang menjadi halangan terbesar jika akta ini tidak diperkenalkan kali ini ataupun dalam sidang khas.

Iklan

"Saya dan rakan-rakan barangkali akan kembali semula ke jalan raya untuk mendesak sebab kita melihat apa yang kita cakap di Parlimen kadang-kala tidak dipedulikan,” katanya.

Turut senada dengan Mohamad ialah Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) yang mana RUU anti lompat parti tersebut perlu dibentangkan segera, malah beliau difahamkan dalam kalangan jemaah menteri tidak ada persefahaman mengenai RUU tersebut.

"Mereka tidak ada persefahaman dari segi macam mana bentuk RUU ini. Saya kira pandangan mereka tidak dapat kata sepakat.

"Kita harap jangan lagi berlaku lompat melompat di masa akan datang seperti yang dikatakan Kota Raja (Mohamad). Saya sokong dia sebab dia betul. Kita tak boleh melompat-melompat, memalukan," katanya.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin politik lain turut berpendapat, RUU anti lompat parti berkenaan perlu diperincikan supaya memberikan definisi tepat berhubung terma ‘lompat parti,’ sebelum dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah memperincikan itu perlu dilakukan dalam beberapa aspek lain yang mungkin mengelirukan bagi mengelak elemen salah guna kuasa dalam kalangan kepimpinan sesebuah parti.

Pada masa sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga berkata, RUU tersebut tidak perlu tergesa-gesa untuk dibentangkan bagi mengelakkan berlakunya banyak kelompongan dalam sistem perundangan yang dibuat di negara ini.

"Saya rasa ini perlu diperhalusi di peringkat jawatankuasa perunding. Sebab saya fikir semua pihak harus jelas apa akta yang nak dibentang, apa kelompongan yang ada. Kita kena lengkapkan dahulu.

"Saya fikir sama ada DAP, mana-mana pihak daripada pembangkang perlu duduk bersama untuk diperhalusi dan mana-mana kekurangan perlu dilengkapkan sebelum kita bentang,” katanya.