Kerajaan Perak bantu hidupkan semula Bandar Agacia

Iklan
Gambar kecil: Nolee Ashilin (Tular keadaan Bandar Agacia di media sosial. - Foto Ihsan Pembaca)

IPOH - Kerajaan Perak sedia membantu menghidupkan semula Bandar Agacia di Kampar yang terkenal dengan reka bentuk bangunan unik dan kini terbiar tanpa penghuni.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, kekurangan penggiat atau peserta menjadi faktor utama lokasi yang dikendalikan pihak swasta itu mula suram.

Iklan
Iklan

"Ia di luar kawalan kami (kerajaan negeri) kerana ia projek dianjurkan oleh syarikat swasta. Saya pergi melawat dan bertemu dengan pihak pemaju untuk lihat perancangan yang boleh kami bantu.

"Disebabkan pandemik, pembangunan mereka juga agak perlahan untuk diaktifkan semula, malah jumlah peniaga belum sampai tahap yang diperlukan.

Iklan

"Mereka sedang berusaha menarik peniaga untuk kembali ke kawasan tersebut bagi meneruskan pembangunan yang sepatutnya dirancang oleh pihak syarikat tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Integriti Pelancongan (JIPS) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2.0 di Pejabat SPRM Perak, Meru Raya di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata, pihaknya juga turut merancang untuk menganjurkan pelbagai aktiviti sebagai salah satu usaha menarik kehadiran pelancong.

"Kami memang ada perancangan sekiranya mereka kembali beroperasi mungkin kita bantu mengadakan dari segi seni jalanan, pasar dan sebagainya.

"Aktiviti itu kita akan bincang bersama Majlis Daerah Kampar, cuma sekarang di kawasan itu belum cukup penggiat atau peserta," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial memaparkan keadaan Bandar Agacia sepi berikutan keadaan bangunan yang suram tidak diselenggarakan dan banyak kedai sudah gulung tikar kerana tidak mampu meraih keuntungan.

Warganet turut meluahkan rasa terkilan apabila destinasi yang mendapat jolokan Disneyland Malaysia itu akan menerima nasib sama seperti Taman Tema Animasi Studio (MAPS).