Buka sempadan: Pengusaha bas mahu sesi libat urus perjelas SOP

Iklan
Thiagarajan (dua dari kiri) pada sidang akhbar Sekteriat Gabungan Bas Malaysia di Iskandar Puteri pada Rabu.

ISKANDAR PUTERI - Kementerian Pengangkutan digesa melaksanakan sesi libat urus dengan pengusaha bas berhubung prosedur operasi standard ( SOP) yang perlu dipatuhi bagi membolehkan pengoperasian bas ketika pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.

Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM), R Thiagarajan berkata, SOP terlibat penting kepada pengusaha dan pemandu bas perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mahu merancakkan kembali perniagaan mereka yang sebelum ini terjejas akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Berbaki tujuh hari lagi sebelum sempadan negara dibuka. Peranan pemain industri syarikat bas daripada PMKS perlu diambil kira.

"Saya bimbang banyak syarikat pelancongan sudah mula menawarkan pelbagai pakej bagi menarik kehadiran pelancong ke negara ini biarpun SOP masih belum jelas.

Iklan

"Apabila sempadan dibuka nanti, mungkin keadaan bertambah sulit sama ada bas tidak dapat mengambil mereka atau mereka tidak dapat pulang," katanya pada sidang akhbar di Iskandar Puteri di sini pada Rabu.

Menurut Thiagarajan, seramai 300 pemandu bas termasuk bas sekolah dan bas pekerja di negeri ini sudah beralih bidang dengan bekerja sebagai pemandu lori, menjual makanan dan menjadi pemandu e-hailing akibat terkesan dengan pandemik Covid-19.

Iklan

"SGBM harap dengan pembukaan sempadan negara ini dapat membantu pengusaha bas PMKS kembali bernafas. SOP pembukaan sempadan ini perlu diterangkan kepada pengusaha bas PMKS," katanya.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sempadan negara akan mula dibuka pada 1 April depan.

Beliau berkata, keputusan tersebut bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain dan memberi keselesaan kepada pengembara dengan tidak merumitkan perjalanan mereka.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad ketika itu turut menggesa agar kerajaan memuktamadkan segera prosedur operasi standard (SOP) perjalanan ulang alik harian ke Singapura menjelang pembukaan sempadan negara pada 1 April depan.

Katanya, perkara itu akan segera dibincangkan dengan kerajaan Persekutuan bagi membolehkan kelancaran perjalanan ulang alik harian menerusi laluan darat Johor dan Singapura.