SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menetapkan harga siling runcit minyak masak peket pada RM2 sekilogram (kg), di premis jualan seliaan PKPS bermula minggu ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, sebagai permulaan sebanyak 500 kilogram akan diperuntukkan di setiap premis dengan had sebanyak dua peket minyak masak bagi setiap pembelian.
Iklan
Iklan
"Kita sudah buat keputusan minyak masak yang dijual pada harga pasaran sekarang iaitu RM2.43 satu kilogram kita akan jual pada harga RM2 sekilogram kepada pengguna dan selebihnya kita akan tanggung untuk program intervensi.
"Namun kita akan hadkan jumlah pembelian minyak masak kerana kita bimbang yang datang membeli adalah penjaja pula sebab kita mahu rakyat yang memasak di rumah yang mendapat manfaat.
"Kita juga akan tengok apa-apa lagi barangan lain yang kritikal dan kita akan tambah," katanya pada sidang media di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik PKPS Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) pada Rabu.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim di Wisma PKPS di Seksyen 14, di sini.
MENYUSUL