SHAH ALAM - Pas menyokong penuh penentangan keras Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap penyiaran video sedutan drama ‘Perempuan Itu’ berbaur lucah yang tular di media sosial baru-baru ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program yang memaparkan adegan berbaur lucah adalah bercanggah dengan Islam, maruah umat Islam dan budaya masyarakat Melayu.
Iklan
Iklan
Jelasnya, ia tidak wajar disiarkan dalam walau apa jua alasan yang diberikan.
"Pas meminta agar pihak berautoriti mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini.
"Pas menasihatkan golongan karyawan agar melahirkan karya bermutu dan bersesuaian dengan prinsip agama Islam dan kesusilaan masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu hantaran pada Rabu.
Pada 21 Mac, Jakim mengambil perhatian serius isu video sedutan drama 'Perempuan Itu' yang tular di media sosial.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Jakim telah menyatakan pendirian dan pandangan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya tindakan tegas dapat diambil segera.