MARAN - Warga emas di Felda Keembong Jengka 6 di sini, trauma selepas rumah mereka dilanda ribut dalam kejadian petang Selasa.
Rokiah Mat Nota, 67, memberitahu, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang itu menyebabkan atap zink di bahagian dapur, bilik dan bilik air rosak dierbangkan angin.
"Ketika itu saya bersama seorang anak lelakinya berusia 48 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU). Ribut kuat hingga menyebabkan kira-kira 20 keping atap zink rumah kami rosak.
"Banyak barangan dalam rumah turut basah kerana hujan terlalu lebat. Insiden ini pertama kali berlaku," katanya.
Sementara itu, Dayang Ma'had, 65, berkata, tiga cucunya berusia 6, 8 dan 11 tahun menjerit ketakutan berikutan bunyi dan angin terlalu kuat.
"Tak sangka rumah makcik turut terkena, selama ini hanya tengok dalam televisyen.
"Walaupun beberapa atap rumah diterbangkan angin, namun makcik bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa," ujarnya yang sudah lebih 40 tahun tinggal di kawasan rancangan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Jengka 6, Saharudin Lela, 64, berkata, sebanyak 56 buah rumah terjejas dalam kejadian berkenaan.
"Daripada jumlah tersebut, lapan rumah rosak teruk selepas atap diterbangkan angin termasuk bumbung garaj kereta," jelasnya.
Dalam pada itu, sebanyak lima buah rumah di Felda Kenanga Jengka 7 turut terjejas termasuk sebuah rumah dihempap sebatang pokok dalam kejadian berkenaan.