ALOR SETAR - Kedah akur sekiranya cadangan untuk mengeksport daun ketum ke Thailand tidak diluluskan oleh kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu masih di peringkat menyediakan kertas cadangan dan akan dibentangkan kepada kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan selepas sesi libat urus bersama agensi penguat kuasa dan penanam ketum selesai.
Menurutnya, sekiranya kerajaan Persekutuan sedang memperhalusi kelulusan baharu berkaitan ketum yang hendak digubal, pihaknya bersedia menunggu sehingga satu keputusan dapat dimuktamadkan.
"Sesi libat urus bersama agensi penguatkuasaan, pekebun atau penanam masih berlangsung, jika ada pihak yang seludup ketum pun sanggup beri cadangan kepada kita, apa salahnya agar kita dapat kemukakan maklumat kepada kerajaan Persekutuan.
"Pandangan wakil rakyat pembangkang pun akan diambil kira dalam penyediaan kertas terbabit," katanya pada sidang akhbar selepas selesai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, semua prosedur akan dilakukan mengikut perundangan sedia ada sehingga terdapat akta baharu atau penambahbaikan seksyen berkaitan ketum.
"Kalau cadangan kita itu dipertimbangkan, kerajaan negeri akan mohon untuk lantik syarikat atau anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mendapatkan lesen mengendalikan pembelian dan eksport daun ketum segar, bukan yang diproses kerana ia salah di bawah Akta Racun,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti eksport daun ketum segar, penyeludupan tumbuhan itu akan dapat dibanteras mahupun disalah guna oleh masyarakat.
"Kerajaan Persekutuan sepatutnya memberi perhatian kepada penyalahgunaan bahan itu, daun ketum itu tidak berdosa, yang berdosa bila ia disalah guna.
"Samalah macam orang salah guna senjata, ada aktiviti eksport import bom dan senjata yang digunakan atas alasan pertahanan, tetapi disalah guna untuk bunuh orang. Kalau tidak, tak ada lah industri senjata walaupun bersembunyi di sebalik industri pertahanan negara, itu lagi bahaya berbanding ketum yang diproses untuk sektor perubatan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya juga bersedia menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengkaji manfaat industri ketum.
"Saya difahamkan, satu memorandum menuntut kerajaan benarkan industri kanabis perubatan, hemp dan ketum akan dihantar kepada Perdana Menteri minggu depan, yang akan diserahkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin bersama tiga organisasi.
"Kita boleh dapatkan pandangan mereka juga untuk sediakan kertas cadangan yang sedang kita usahakan,” katanya yang merujuk kepada kumpulan organisasi, Pusat Racun Negara (PRN), Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dan Cheras Pinang Sdn Bhd yang menuntut industri terbabit diterima dalam negara.
Ditanya adakah kerajaan negeri mempunyai jaminan tidak berlaku penyalahgunaan daun ketum sekiranya aktiviti eksport ketum dibenarkan, beliau berkata, tiada pihak yang boleh memberi jaminan tersebut berikutan ia sudah berlaku sejak puluhan tahun.
"Kita perketatkan undang-undang pun masih ramai yang salah guna ketum atau hisap dadah, sehingga kita terpaksa buka banyak pusat pemulihan, orang tak serik pun.
"Apa yang saya cadangkan itu berkaitan bagaimana kaedah terbaik untuk benarkan eksport secara sah dengan kawalan, bukan kegunaan dalam negara. Ia antara penyelesaian untuk elak penyeludupan ketum terus berleluasa,” katanya.
Muhammad Sanusi turut memaklumkan pihaknya juga akan melakukan tinjauan ke kawasan sempadan yang sering dibolosi penyeludup bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.