KUSKOP sasar tambah 200 koperasi masjid tahun ini

Iklan
(Dari kanan): Norli dan Noh selepas upacara menandatangani MoU antara WCB dan Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan untuk menambah 200 koperasi lagi di seluruh masjid di Malaysia.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, terdapat 400 koperasi masjid ditubuhkan daripada lebih 6,000 masjid yang ada di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Justeru, pihaknya berhasrat untuk menambah 200 lagi koperasi masjid pada tahun ini bagi mencapai sasaran 10 peratus daripada masjid di Malaysia mempunyai koperasi berkenaan.

"Kita sasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus masjid di Malaysia mempunyai koperasi, jadi kita perlukan 200 lagi koperasi masjid untuk mencapai sasaran tersebut pada tahun ini.

Iklan

"Kita sedang laksanakan (penubuhan koperasi masjid) malah kita juga adakan seminar koperasi masjid buat pertama kalinya dengan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kita ada peruntukan maksimum sebanyak RM10,000 (kepada pihak masjid yang ingin memohon), tapi ia bergantung kepada kelayakan," katanya ketika sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Koperasi Wanita Malaysia Berhad (WCB) di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini pada Rabu.

Iklan

Dalam pada itu mengulas pelancaran WCB, Noh berkata, WCB satu-satunya koperasi wanita diberi kebenaran untuk perbankan kredit 'credit finance' dan menguruskan Ar Rahnu untuk wanita yang dikenali sebagai Ar Rahnita.

Ujarnya, WCB diharap mampu menjadi bank wanita pertama di Malaysia jika ia mampu diurus dengan baik.

"Kita harap dengan tertubuhnya WCB yang dibimbing oleh Bank Rakyat, ia akan menjadi koperasi terunggul bukan sahaja dalam Malaysia teteapi di peringkat antarabangsa dengan membawa konsep Ar Rahnita seperti Dubai dan London," katanya.

Pada Rabu, majlis pelancaran WCB turut menyaksikan upacara menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bank Rakyat bagi mendapat sokongan dalam perlaksanaan Program Pembangunan Keusahawanan Domestik dan Antarabangsa.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi WCB, Datin Norli Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan sambil disaksikan oleh Noh.