Bandar Mariupol seperti neraka

Iklan
Blok kediaman penduduk yang musnah dibedil dan memaparkan gambaran seperti ‘bandar hantu’. - Foto Agensi

KIEV - Hampir 100,000 orang awam terperangkap dan mengalami kebuluran ketika hujan peluru semakin ganas di bandar Mariupol yang disifatkan seperti ‘neraka’ oleh kebanyakan penduduk dengan mayat bergelimpangan di merata tempat selain banyak struktur yang musnah teruk akibat dibedil.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut menggesa Moscow supaya menghentikan perang ‘tidak masuk akal’ dan ‘tidak dapat dimenangi’ itu setelah bandar tersebut terus dikepung sejak tiga minggu lalu.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan penduduk tiada bekalan makanan, air minuman dan ubat-ubatan. Situasi kemanusiaan kini semakin buruk,” ujarnya menerusi rakaman video terbaharu pada Selasa.

Agensi bantuan antarabangsa menganggarkan kematian orang awam mencecah kira-kira 20,000 orang walaupun angka korban sebenar masih tidak diketahui sehingga kini.

Iklan

Imej satelit dikeluarkan Maxar Technologies menunjukkan kemusnahan dahsyat di Mariupol dengan asap tebal memenuhi ruang udara selain beberapa bangunan terbakar yang jelas seperti gambaran ‘bandar hantu’.

Pentagon mendakwa Moscow kini memperhebatkan serangan mereka menggunakan artileri, misil dengan jangkauan jarak jauh dan bedilan dari kapal tentera laut di Laut Azov.

Iklan

Situasi semakin meruncing selepas pasukan infantri Rusia kini menggempur Mariupol setelah Ukraine enggan tunduk dengan tuntutan Moscow supaya menyerahkan bandar itu pada Isnin lalu.

Susulan berdepan desakan yang semakin meningkat, satu perjanjian dicapai untuk memindahkan orang awam di beberapa bandar melalui sembilan koridor kemanusiaan pada Rabu.

Timbalan Perdana Menteri, Iryna Vereshchuk berkata, laluan selamat itu bagaimanapun mengecualikan Mariupol dan mereka yang berhasrat untuk meninggalkan bandar itu boleh mendapatkan pengangkutan di Berdyansk. - Agensi