KUALA LUMPUR - RakanMET, sebuah platform perkongsian maklumat cuaca serta bencana, dinaik taraf kepada aplikasi mudah alih lebih mesra pengguna yang boleh dimuat turun dalam telefon bimbit.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, aplikasi RakanMET yang dilancarkan hari ini (Rabu) merupakan platform perkongsian maklumat antara pengguna dengan MetMalaysia yang berorientasikan perkhidmatan komuniti dan perkongsian pintar.
"Setiap pelaporan yang dikongsikan adalah berdasarkan tetapan lokasi semasa telefon pengguna melalui Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS). Selain itu, aplikasi ini turut menyediakan maklumat ramalan cuaca semasa dan maklumat ini tersedia dalam sela masa 30 minit untuk tempoh sehingga tiga jam,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Beliau berkata, RakanMET sebelum ini diakses melalui laman web akan terus berperanan sebagai medium komunikasi dua hala antara orang awam dengan MetMalaysia dalam mendapatkan maklumat mengenai cuaca yang sahih dan tepat secara pantas di hujung jari.
Katanya, aplikasi itu boleh dimuat turun melalui Google Play secara percuma dan akan diperluaskan untuk pengguna Apps Store pada April ini.
Dalam pada itu, Muhammad Helmi berkata sempena Hari Meteorologi Sedunia yang disambut setiap tahun pada 23 Mac, MetMalaysia kali ini mengadakan sesi Pocket Talk bertajuk ‘Amaran Awal dan Tindakan Awal’ yang akan diadakan secara langsung melalui Facebook Live di laman Facebook rasmi MetMalaysia pada 10 pagi esok (Khamis).
Pocket Talk itu menampilkan tiga ahli panel dari kalangan Pengarah Pejabat Meteorologi Negeri dan Ketua Penolong Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional selaku moderator.
"MetMalaysia mengambil inisiatif sambutan ini sebagai platform untuk menyalurkan informasi dan seterusnya meningkatkan kesedaran awam mengenai maklumat, nasihat dan amaran berkaitan meteorologi, geofizik dan tsunami,” katanya.
"Tema Sambutan Hari Meteorologi Sedunia pada tahun ini ialah 'Amaran Awal dan Tindakan Awal’ (Early Warning and Early Action) yang dipilih Organisasi Meteorologi Dunia untuk menunjukkan kepentingan amaran awal, supaya semua pihak dapat bersiap siaga dan bertindak lebih awal dalam menghadapi sebarang bencana. - Bernama