31 syarikat sertai kempen Sayangi Sawitku

Iklan
Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim (hadapan tiga,kanan) beramah mesra bersama pemain industri sawit dan bergambar bersama logo Kempen "Sayangi Sawitku" selepas Pertemuan Bersama Syarikat Pengeluar Berasaskan Sawit di Bilik Mesyuarat Nyatoh, Kementerian Industri Utama hari ini. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan melancarkan Kempen "Sayangi Sawitku" pada Aahad ini bertempat di Ladang East Sime Darby Plantation Pulau Carey. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Sebanyak 31 syarikat pengeluar produk berasaskan sawit bersetuju meletakkan pelekat"Sayangi Sawitku” dan"Love My Palm Oil” pada label produk masing-masing sebagai menyahut Kempen Sayangi Sawitku oleh kerajaan.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata langkah yang akan dilakukan dalam kadar segera itu dicapai dalam satu pertemuan bersama wakil syarikat berkenaan hari ini.

Iklan
Iklan

Mereka yang terlibat dalam perniagaan seperti makanan, minuman, kesihatan, kosmetik serta baja pertanian itu akan bertindak selaku duta bagi mempromosi kelebihan minyak sawit berdasarkan kejayaan produk berasaskan sawit yang diniagakan.

"Mereka juga bersedia untuk terlibat dalam mengadakan taklimat, aktiviti serta program berkaitan di seluruh negara bagi memperkenalkan khasiat dan kelebihan produk yang menggunakan kelapa sawit sebagai bahan kandungan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut di sini.

Iklan

Kempen Sayangi Sawitku yang dilancarkan pada Januari lepas antara lain bertujuan memupuk semangat kecintaan dan kebanggaan ke atas minyak sawit serta penghargaan terhadap sumbangan komoditi itu kepada ekonomi negara.

Kok berkata kesediaan pemain industri itu untuk terlibat dalam kempen tersebut secara tidak langsung membantu mempromosikan produk keluaran syarikat berkenaan kepada pengguna, khususnya mereka yang menggemari khasiat minyak kelapa sawit.

Iklan

Beliau berkata terdapat lebih 80 peratus produk yang berada di pasaran tempatan dikenal pasti menggunakan minyak kelapa sawit sebagai kandungan.

Mengenai kempen di peringkat antarabangsa, Kok berkata beliau sekali lagi akan melawat negara-negara Kesatuan Eropah (EU) pada Mei depan bagi bertemu pemimpin kerajaan untuk menjelaskan situasi sebenar perusahaan kelapa sawit di Malaysia.

"Kebanyakan pimpinan kerajaan dan anggota Parlimen EU tidak memahami cara sebenar kelapa sawit ditanam, bagaimana kita menjaga alam sekitar dan sejauh mana kerajaan berusaha ke arah minyak sawit mampan, ini semua akan dijelaskan dalam lawatan itu kelak," katanya. - Bernama