Kerajaan sedia ada tidak lagi dihormati: Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kegagalan kerajaan sedia ada mengusulkan lanjutan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat melalui undi belah bahagi membuktikan ia tidak lagi dihormati.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangkang dilihat tidak berminat mewujudkan kestabilan politik dan cenderung melupakan janji serta komitmen dengan mudah.

Iklan
Iklan

Tambahnya, kegagalan itu juga menyebabkan kedudukan kerajaan tidak stabil dan tidak berupaya untuk mengemukakan dasar yang baik dengan lancar.

"Kegagalan usul yang dibawa oleh kerajaan untuk melanjutkan tempoh tahanan di bawah seksyen 4(5) Sosma 2012 adalah sesuatu yang mengejutkan.

Iklan

"Ini kerana, jika kita merujuk kepada Memorandum Persefahaman antara pihak Kerajaan (Perikatan Nasional) dan pembangkang (Pakatan Harapan), Perkara 3 dengan jelas menegaskan bahawa pihak pembangkang hendaklah bersetuju, atau berkecuali, dalam apa-apa usul yang dibawa oleh kerajaan.

"Ia sebagai salah satu langkah yang diambil bagi mewujudkan kestabilan politik dalam pentadbiran semasa.

Iklan

"Namun, apabila usul yang dibentangkan kali ini gagal akibat tidak mendapat sokongan pihak pembangkang, adalah wajar untuk kita semua menyimpulkan yang mereka telah memungkiri janji, melanggar persetujuan dan mengabaikan sama sekali komitmen mereka sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada Rabu, Sidang Dewan Rakyat melakar sejarah kepada pembangkang apabila buat pertama kali mereka menang dalam penentuan undi belah bahagi.

Undian dibuat mengenai usul bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan.

Melalui undi itu hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 tidak bersetuju dan proses undi belah bahagi itu juga menyaksikan seramai 50 orang lagi tidak hadir.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, MoU antara kerajaan dan pembangkang juga hanya dilihat sekadar janji di atas kertas.

"Jika ditanya pendirian saya dan parti, saya kira semuanya sudah sangat jelas. Malah, ketetapan dan pendirian kita semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tempoh hari adalah sesuatu yang rasional dan berasas.

"Saya harap, masyarakat di luar sana dapat melihat betapa rapuh dan berisikonya bentuk kerajaan yang ada. Ia adalah pengajaran yang besar kepada parti politik seperti UMNO dan BN,” ujarnya.

Jelas beliau, perkara itu menguatkan semangat dan kepercayaannya bahawa UMNO harus bangkit kembali sebagai kuasa politik yang kuat, besar dan terhormat.

"Kita mesti berupaya membawa dasar dan usul yang baik tanpa perlu mengharapkan sokongan pihak lawan yang suka menangguk di air keruh.

"Yang pasti, apa yang berlaku ini (kegagalan usul Sosma 2012) adalah sesuatu yang memalukan kerajaan. Ia adalah aib yang menuntut kita untuk mengukuhkan diri dengan cara yang strategik dan segera,” katanya.