SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan 32 ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir ke sidang Dewan Rakyat pada Rabu ketika undi belah bahagi dijalankan.
Syed Saddiq dalam hantaran di Facebook turut menyenaraikan tiga ahli Parlimen yang lewat masuk ke dewan iaitu Gombak (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), Padang Besar (Datuk Zahidi Zainol Abidin) dan Ketereh (Tan Sri Annuar Musa).
Selain itu, Sembrong (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein), Ayer Hitam (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) dan Tanah Merah (Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz) tidak hadir kerana berada di luar negara.
Antara lain yang tidak hadir adalah Parlimen Pekan, Bagan Datuk, Pontian, Putrajaya, Marang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Pagoh.
Ujar Syed Saddiq, ketidakhadiran ahli Parlimen kerajaan itu juga menyebabkan usul berkaitan Subseksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berjaya ditolak pembangkang.
"Belum pernah selama ini usul kerajaan berjaya ditolak tetapi semalam adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia.
"Jadi, boleh sahaja kalau kerajaan mahu luluskan usul semalam tapi mereka memilih untuk tidak hadir ke dalam Dewan Rakyat dan jalankan hak untuk mengundi sebagai ahli Parlimen.
"Pembangkang, kita jalan tegak!,” katanya.