PENYOKONG Chelsea dibenarkan menghadiri perlawanan Liga Juara-Juara dan Piala FA sehingga hujung musim ini di bawah syarat-syarat lesen baharu selepas kerajaan Britain meminda lesen khas kelab itu, kata Jabatan Digital, Kebudayaan, Media dan Sukan (DCMS).
"Kelab akan dapat menjual tiket untuk suku akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di tempat sendiri pada 6 April diikuti aksi separuh akhir Piala FA, Crystal Palace di Stadium Wembley.
Iklan
Iklan
"Hasil jualan tiket akan disalurkan melalui Liga Perdana kepada penganjur pertandingan atau kelab tuan rumah berkaitan dan bukannya kelab bola sepak Chelsea bagi mematuhi sekatan semasa.
"Sejak Roman Abramovich disenaraikan dalam sekatan United Kingdom kerana kaitannya dengan (Presiden Rusia) Vladimir Putin, kami telah bekerja keras untuk memastikan kelab bola sepak ini boleh terus bermain bola sepak sambil memastikan rejim sekatan terus dikuatkuasakan.
"Saya ingin berterima kasih kepada para penyokong Chelsea atas kesabaran sepanjang tempoh ini semasa kami bersama pihak berkuasa bola sepak berusaha untuk membolehkan kelab ini terus beroperasi," ujar kenyataan itu.
Penyandang juara Liga Juara-Juara tersebut sebelum ini tidak dibenarkan menjual tiket apabila kerajaan Britain mengenakan sekatan ke atas pemilik kelab itu, Roman Abramovich berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Chelsea juga tidak dibenarkan menjual tiket kepada penyokong tuan rumah untuk perlawanan liga di tempat sendiri, namun penyokong di tempat lawan dapat membeli tiket untuk perlawanan di Stamford Bridge, dengan pendapatan disalurkan kepada pengendali Liga Perdana.