PENGERANG - Kehadiran kumpulan gajah di sekitar Desaru mula menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengusaha kebun buah-buahan di kawasan berkenaan.
Pengarah Desaru Fruit Farm, Steve Er Wee Heng berkata, kumpulan gajah itu dilihat semakin kerap berada di kawasan tersebut sejak akhir-akhir ini berdasarkan jejak dan tapak kakinya.
"Ini adalah kerisauan kami sebagai pengusaha kebun buah-buahan di kawasan ini susulan kira-kira tiga minggu lalu, kumpulan gajah mula masuk ke dalam kebun Desaru Fruit Farm yang menjadi lokasi bagi aktiviti agro pelancongan.
"Buat masa ini kawasan yang terjejas melibatkan kawasan kebun seluas 90 ekar dengan kerugian kira-kira RM100,000 kerana banyak pokok pisang nipah ditumbangkan oleh gajah. Selain bimbangkan tanam-tanaman, kami juga risau terhadap keselamatan,” katanya dalam sidang media di Desaru Fruit Farm di sini, pada Khamis.
Menurut Steve, dia risau mengenai tahap keselamatan ahli keluarganya dan seramai kira-kira 40 pekerja di lokasi agro pelancongan tersebut.
Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Kota Tinggi Noorfarahin Sahari berkata, pihaknya kini sedang meneliti laporan yang diterima daripada pihak pengusaha berkenaan.
Beliau berkata, selain Desaru Fruit Farm, Jabatan Pertanian juga sebelum ini menerima laporan daripada pengusaha Bio Desaru mengenai kerosakan tanaman yang didakwa akibat perlakuan gajah.
"Di kesempatan ini saya nasihatkan pengusaha yang mengalami kerosakan dan kemusnahan kebun atau ladang akibat gajah serta bencana supaya membuat laporan kepada ejen pengembangan tanah Jabatan Pertanian.
"Bantuan sokongan akan diberikan daripada segi input dan peralatan," katanya.