SEREMBAN - Ladang koko pintar seluas 100 hektar yang pertama dan terbesar di negara ini akan dibangunkan di Bukit Gangis, Setul di sini melibatkan pelaburan bernilai RM15 juta.
Ladang berkenaan dimiliki sepenuhnya oleh Syarikat Permaju Industri Berhad (PIB) akan diusahakan dengan kolaborasi strategik bersama Lembaga Koko Malaysia (LKM) dengan menggunakan teknologi pintar yang dibangunkan dari negara Austria.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ladang itu akan diurus menggunakan teknologi pintar iaitu Sistem Pengurusan Informasi Koko (CIMS).
"Dengan CIMS, dapat meningkatkan kecekapan dalam pengurusan ladang dan meningkatkan pengeluaran hasil buah koko.
"Selain itu dapat menjadi ladang contoh penggunaan teknologi pintar yang akan menarik lebih ramai pelabur dan generasi muda untuk mengusahakan tanam koko," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ladang Koko Pintar di sini pada Khamis.
Menurutnya, dengan gabungan PIB, LKM dan teknologi Austria itu dapat memantapkan lagi pengurusan koko di peringkat huluan.
Tambahnya, pengeluaran koko dari ladang itu dijangka akan melebihi 150 tan metrik setahun yang mampu memenuhi permintaan pengeluar coklat premium sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan.
Pada masa sama katanya, dengan teknologi pintar digunakan dapat membantu mengatasi masalah penyakit yang menyerang tanaman koko sekali gus menghasilkan pokok yang berkualiti tinggi.
"Menguruskan tanaman koko dengan menggunakan teknologi pintar ini juga boleh memantau dan membaca dari mana datangnya penyakit tanaman koko.
"Ia termasuk bagaimana kita harus buat semburan bersasar dan bukannya keseluruhan tanaman yang mana ia lebih menjimatkan urusan dalam perladangan peringkat huluan," katanya.
Dalam pada itu Zuraida berkata, pembukaan sempadan 1 April ini dijangka dapat membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi termasuk industri koko.
Sehubungan itu, beliau yakin dapat mencapai sasaran RM14 bilion eksport koko tahun ini berbanding tahun lalu RM7 bilion.