PENGENDALI Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya mendedahkan pasukannya akan turun dengan kekuatan penuh dalam usaha menggempur kubu UiTM FC bagi menggapai kemenangan dalam aksi Liga Premier di Stadium UiTM di Shah Alam, pada Jumaat.
Rezal Zambery berkata, The Red Warriors (TRW) tidak akan melakukan rombakan sebaliknya mahu pemain mendapatkan minit perlawanan selepas melihat mereka begitu bersemangat untuk berbuat demikian.
Iklan
Iklan
"TRW ada ramai pemain berkualiti. Jadi saya perlu memberikan peluang kepada pemain untuk memperagakan kemampuan yang dimiliki oleh mereka.
"Dengan persediaan yang kami lakukan ketika ini, saya optimis barisan penyerang Kelantan FC mampu menembusi gawang UiTM FC," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, UiTM FC pasti akan memberikan tentangan sengit kepada barisan pemain Kelantan FC pada aksi itu nanti dan mereka perlu kekal fokus sepanjang perlawanan tersebut serta menterjemahkan setiap peluang yang dimiliki dalam bentuk jaringan.
Tambah Rezal Zambery, hal ini bagi memastikan Kelantan FC meraih mata penuh pada aksi itu nanti.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kelantan FC sudah bersiap sedia dan mengambil maklum terlebih awal mengenai panggilan Fadel bersama skuad kebangsaan Lubnan.