KOTA KINABALU - Rakyat Sabah telah memilih dan berpendirian untuk bersama-sama membentuk Malaysia, justeru tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas negeri itu tidak akan diiktiraf sama sekali, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu pada Khamis.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, sehubungan itu juga kerajaan negeri tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan tersebut.
"Rakyat negeri ini telah pun membuat keputusan untuk bersama-sama membentuk sebuah negara Malaysia berdaulat yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, rakyat mengambil pendirian tegas jadi kita tidak iktiraf sama sekali tuntutan itu.
"Pendirian ini cukup jelas dan tidak perlu dipolitikkan," katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di sini pada Khamis.
Ketika penggulungan itu Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) membuat celahan dan menyeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah tanpa mengira kerajaan atau pembangkang bersama menyokong Hajiji dan kerajaan negeri menolak tuntutan tersebut, disambut sokongan padu semua ADUN.
Sementara itu Hajiji berkata, bagi mengukuhkan keselamatan di Sabah terutama di pantai timur, kerajaan Persekutuan bercadang menubuhkan satu lagi Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah yang ditempatkan di daerah Lahad Datu dan satu lagi batalion PGA di daerah Kunak.Beliau memberitahu, selain itu bakal diwujudkan Pos Kawalan Baharu PGA di Kuala Sungai Manalunan, Kinabatangan; dan Kuala Maruap, Lahad Datu; serta Forward Operational Base (FOB) di Pulau Banggi, Kudat dan Pulau Mabul, Semporna.
Hajiji berkata, berdasarkan Laporan Awal Banci Penduduk dan Perumahan Sabah Tahun 2020 seramai 810,443 penduduk negeri ini bukan warganegara dan angka itu mewakili 23.7 peratus daripada keseluruhan 3,418,785 orang penduduk Sabah.
"Kerajaan negeri akan terus berusaha menangani isu-isu berkaitan pendatang asing yang telah berlarutan sejak sekian lama. Pada 16 Februari lepas kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Peringkat Kabinet dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri ll (Datuk Dr Jeffrey Kitingan).
"Jawatankuasa ini akan mencari pendekatan terbaik dan seterusnya mengemukakan semua rekomendasi kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga bulan," katanya. - Bernama