Usul kecualikan kerabat diraja daripada daftar pemilih automatik dibentang

Iklan
Wan Junaidi

KUALA LUMPUR - Kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Khamis bagi mengecualikan pendaftaran pemilih automatik kepada kerabat diraja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pindaan tersebut mencadangkan agar Perkara 119A dapat ditambah dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu melibatkan pengecualian nama Raja Pemerintah dan pasangan, Yang Dipertua Negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan, dan mana-mana orang lain daripada disenaraikan dalam pendaftaran pemilih automatik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengecualian tersebut adalah perlu bagi memastikan terdapat proses semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Perkara ini selaras dengan keistimewaan dan kewibawaan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kedudukan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri seperti yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh Negeri,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut Wan Junaidi berkata, lanjutan daripada pelaksanaan kelayakan umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik, setiap warganegara Malaysia yang memenuhi syarat kelayakan akan didaftarkan tanpa sebarang pengecualian.

Pelaksanaan itu katanya, turut melibatkan Raja-Raja Melayu dan pasangan, pewaris dan pasangan serta Yang Dipertua Negeri dan pasangan.

Iklan

"Perkara itu telah menimbulkan persoalan mengenai keperluan pengecualian untuk Raja-Raja Melayu dan pasangan, pewaris dan pasangan serta Yang Dipertua Negeri dan pasangan daripada didaftarkan sebagai pemilih secara automatik supaya kekal berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

"Bagi maksud pengecualian tersebut, satu pindaan kepada perlembagaan perlu dilaksanakan dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada 12 November 2021,” katanya.