Kedah sedia pesawat khas ke LIMA'19 dari Alor Setar

Iklan
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris (lima, kiri) bergambar selepas Majlis Perasmian Penerbangan Sewa Khas sempena LIMA’19 Langkawi, hari ini. Pesawat jenis Cessna Grand Caravan Ex menyediakan pakej penerbangan khas pergi-balik Alor Setar ke Langkawi sebanyak RM790 seorang, juga meliputi tiket memasuki pameran LIMA'19 dan pengangkutan. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah buat julung kalinya menyediakan penerbangan khas dari Alor Setar ke Langkawi sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA‘19) yang akan berlangsung pada 26 sehingga 30 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, pesawat Cessna Grand Caravan Ex akan digunakan bagi membawa pengunjung ke Langkawi, di samping feri yang merupakan pengangkutan utama ke pulau itu.

Iklan
Iklan

"Perkhidmatan ini disediakan secara pakej dengan harga sebanyak RM790 seorang, merangkumi tambang penerbangan pergi dan balik dari Alor Setar ke Langkawi, tiket masuk ke pameran LIMA’19 serta pengangkutan, manakala kanak-kanak di bawah usia dua tahun tiada bayaran dikenakan.

"Selain itu, penumpang juga dapat merasai pengalaman terbang rendah pada paras 5,000 kaki, bagi memberi peluang melihat pemandangan di bawah sepanjang perjalanan ke sana,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penerbangan Khas sempena LIMA’19 Langkawi di sini, hari ini.

Iklan

Turut hadir, Pengurus Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Puteh Ramli.

Mohd Asmirul berkata, pesawat ringan itu mampu memuatkan 10 penumpang dalam satu masa dengan hanya 20 minit perjalananan.

Iklan

"Saya harap ia mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat Kedah dan pelancong amnya dan jika ada sambutan kita akan pertimbangkan untuk terus diadakan penerbangan itu selepas LIMA’19 berakhir kerana ia membantu mempromosikan Kedah terutama Langkawi,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang berminat boleh menghubungi Palma Holiday di talian 04-7305634 atau 0124250814 atau Aisar Travel di talian 012-4760175 untuk tempahan tiket masing-masing.

Sementara itu, mengulas mengenai LIMA’19, Mohd Asmirul Anuar berkata, kebanyakan hotel sudah penuh ditempah.

Beliau juga berbincang dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk menawarkan penginapan inap desa (homestay) yang terdapat di Langkawi bagi menampung permintaan yang tinggi dari pelancong domestik. - Bernama