KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu membenarkan umat Islam berbuka puasa di kawasan lapang termasuk di padang sekitar jambatan angkat atau drawbridge pada Ramadan tahun ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kebenaran itu diluluskan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM) pada Rabu.
Bagaimanapun menurut Dr Alias, orang ramai perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengelak jangkitan Covid-19.
"Dalam masa yang sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan KKM juga akan membuat pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP,” katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Khamis.
Dr Alias turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan dengan tidak membiarkan sampah dan sisa makanan berlonggokan selepas selesai berbuka puasa di kawasan lapang.
Beliau berkata, penguat kuasa akan melakukan pemantauan berterusan dan bertindak mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu yang dikesan sengaja membuang sampah di merata-rata tempat.
"Jadi kita harap kerjasama orang ramai supaya membuang sampah ke dalam tong yang disediakan bagi mengelak berlakunya longgokan sampah di tempat tidak sepatutnya,” katanya.
Mengulas isu kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah tidak disaran dibawa ke bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri, Dr Alias menjelaskan keputusan itu susulan peningkatan kes Covid-19 di kalangan kanak-kanak.
"Kita tidak galakkan kanak-kanak dibawa ke bazar kerana vaksinasi mereka masih belum lengkap,” katanya.