BANGI - Dasar Kaunseling Negara akan dilaksanakan pada Mac tahun depan dengan fokus menangani isu kesihatan mental dalam masyarakat melalui pemerkasaan perkhidmatan kaunseling.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata, dasar yang diluluskan kabinet pada 28 April tahun lepas itu akan membolehkan kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia untuk memberikan khidmat kaunseling bagi membantu individu dalam isu melibatkan kesejahteraan mental dan emosi.
Rina menyifatkan profesion kaunselor adalah sebagai ‘vaksin’ kepada individu yang memerlukan bantuan terutamanya dari segi bantuan awal kaunseling dan sokongan emosi serta teman berbicara serta mendengar.
"Sebagai contoh, pandemik Covid-19 meninggalkan kesan mendalam hingga ada yang kehilangan kerja dan saudara-mara. Golongan ini perlu diberi perhatian bagi membolehkan mereka bangkit semula,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Kaunseling Kebangsaan 2022 di sini hari ini.
Sehingga kini katanya, terdapat 9,802 kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia yang terdiri daripada kaunselor terlatih bagi mengendalikan kes klien mengikut etika kaunseling yang ditetapkan dan semua maklumat dikongsikan oleh klien adalah dirahsiakan.
Rina berkata, proses penggubalan Dasar Kaunseling Negara dan Pelan Tindakan Komprehensif Perkhidmatan Kaunseling di Malaysia telah dimulakan sebaik mendapat kelulusan Kabinet.
"Proses tersebut melibatkan sesi libat urus termasuk bersama pakar kaunseling, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kaunselor berdaftar bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan mengenai keperluan dasar tersebut agar bersesuaian dengan perubahan gaya hidup, kesan penularan wabak dan bencana alam," katanya.