SHAH ALAM - Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Tan Sri Dr Zulkefli A Hasan berpandangan, penentuan jumlah penjawat awam di negara ini lebih atau berkurang bergantung pada keadaan semasa negara.
Menurutnya, berdasarkan perbandingan antarabangsa yang dilakukan, Malaysia memiliki 19 peratus penjawat awam daripada keseluruhan jumlah pekerja di negara ini.
"Jika dibandingkan negara seperti Norway dan Finland yang jumlah kakitangannya 25 peratus ke atas, kita kurang daripada negara ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Saiz penjawat awam terlalu besar, perlu dikurangkan: Tun M
"Begitu juga dengan negara Asia seperti India dan China, peratusan pekerja sektor awam mereka dianggarkan lebih 50 peratus dengan jumlah keseluruhan pekerja negara berkenaan.
"Ia menunjukkan negara kita masih kurang jumlah penjawat awam berbanding negara-negara berkenaan,” katanya pada Wacana Sinar Ke-95, berjudul ‘Penjawat Awam Terlalu Ramai?’ di Dewan Karangkraf, hari ini.
Dalam pada itu, Zulkefli berkata, sekiranya dilakukan perbandingan dengan negara Korea dan Jepun, jumlah pekerja sektor awam mereka lebih rendah jumlahnya daripada Malaysia.
"Di Korea serta Jepun, peratus pekerja sektor awam mereka adalah 10 peratus daripada jumlah pekerja.
"Bermaksud kita dua kali ganda lebih ramai berbanding dua negara ini,” katanya.
Tambahnya, data perbandingan antara negara seperti Vietnam, Singapura dan Thailand pula, jumlah kakitangan awam mereka lebih tinggi berbanding di negara ini.
"Jadi dalam konteks perbandingan industri, kesimpulan saya buat, kita sebenarnya tak tinggi berbanding kebanyakan negara lain,” katanya.
Bagaimanapun dari segi nisbah penjawat awam dengan jumlah penduduk katanya, Malaysia masih tinggi berbanding negara lain.
"Nisbah kita satu penjawat awam bersamaan dengan 20 orang penduduk.
"Berbanding Korea nisbah mereka satu bersamaan 50. Andai kata sektor seperti polis, tentera, doktor dan cikgu dikeluarkan daripada sektor awam, nisbah penjawat awam Malaysia menjadi satu bersamaan 60 penduduk,” katanya.