PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengembara yang ingkar dengan arahan pelaksanaan ujian RTK-Ag profesional dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan di negara ini bakal usir keluar.
Selain itu, tegas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, status MySejahtera pengembara tersebut turut akan bertukar menjadi warna merah.
"Jadi mereka tidak boleh memasuki mana-mana premis atau meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya," katanya pada sidang akhbar di Parlimen.
Menurutnya, ujian RTK-Ag profesional boleh dilakukan di fasiliti kesihatan swasta di pintu masuk antarabangsa (PMA) atau luar PMA dalam tempoh tersebut.
"Keputusan ujian RTK-Ag akan dilapor terus ke dalam aplikasi MySejahtera," katanya.
Beliau berkata, sekiranya keputusan positif, pengembara dengan vaksin lengkap akan diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) selama tujuh hari di tempat penginapan bagi kategori satu dan dua.
"Namun, bagi kategori tiga dan ke atas, mereka perlu mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital swasta," katanya.
Menurutnya, pengembara yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi, mereka akan diberikan HSO selama 10 hari jika didapati positif Covid-19.
"Sekiranya keputusan negatif, pengembara yang lengkap vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin," katanya.
Tambah Khairy, pengembara yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi dan keputusan ujian RTK-Ag negatif, mereka akan diberikan HSO selama lima hari di tempat penginapan serta dikehendaki menjalani RT-PCR pada hari ke empat atau RTK-Ag profesional pada hari ke lima.
Sekiranya ujian sampel kedua Covid-19 didapati positif, mereka akan diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) selama lima hari dari tarikh sampel kedua diambil.
Sementara itu, sekiranya keputusan Covid-19 negatif, mereka akan dilepaskan dari HSO.
Menurutnya, kanak-kanak berumur bawah enam tahun mengikut tahun kelahiran tidak perlu menjalani ujian pra pelepasan dan ujian semasa ketibaan.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggariskan protokol kemasukan pengembara selaras dengan pembukaan sempadan negara mulai 1 April ini.
"Ini bagi memastikan Malaysia menjadi destinasi selamat serta mengelakkan kesesakan di pintu masuk antarabangsa," ujarnya.
Beliau berkata, sebelum berlepas, pengembara dikehendaki memuat turun, mendaftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan deklarasi perjalanan.
"Maklumat vaksinasi boleh diakses melalui ikon Traveller dalam MySejahtera dan melapor serta memuat naik keputusan ujian RT-PCR yang telah dilakukan dua hari sebelum perlepasan," katanya.
Khairy berkata, bagi pengembara yang pernah dijangkiti dalam tempoh enam hingga 60 hari, mereka perlu melaporkan dan muat naik keputusan RTK- Ag profesional yang telah dilakukan dua hari sebelum berlepas.
"Pengembara asing juga dikehendaki untuk mempunyai perlindungan insurans Covid-19 dan pengembaraan serta menyatakan alamat tempat penginapan di negara ini," katanya.
Ujarnya, dengan penghantaran maklumat tersebut, pengembara akan mendapat paparan kad pengembara bagi pengembara lengkap vaksin, arahan HSO selama lima hari bagi individu tidak lengkap atau tiada vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera.
"Bagi pengembara yang tiada paparan kad pengembara atau arahan HSO, mereka tidak dibenarkan meneruskan perjalanan," katanya.
Tegas Khairy, pengembara perlu memastikan semua maklumat yang diberikan adalah betul.
"Pengisytiharan palsu yang dibuat oleh anda adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta 342, sama ada didenda atau dipenjara atau kedua-duanya," katanya.
Pada perkembangan sama, Khairy berkata, KKM mengiktiraf pengembara yang telah melengkapkan rejimen penuh vaksin Covid-19 yang diluluskan di bawah Penyenaraian Penggunaan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Malaysia juga katanya akan mengiktiraf vaksin yang telah diluluskan penggunaannya oleh pihak berkuasa kawal selia dalam negara lain walaupun tidak tersenarai dalam penyenaraian WHO.
"Contohnya, vaksin Zifivax, Minyak, CoviVac, Medigen, ZyCoV-D, Turkovac, Covifenz," katanya.