Pemandu lori gagal rayu sabitan, hukuman penjara 10 tahun

Iklan
Seorang pemandu lori gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Khamis untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan atas kesalahan memiliki dadah.

PUTRAJAYA - Seorang pemandu lori gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Khamis untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan atas kesalahan memiliki dadah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah menolak rayuan N Raman terhadap sabitan dan hukumannya.

Iklan
Iklan

Dalam keputusan mahkamah, Hakim Hadhariah berkata, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mengesahkan sabitan dan hukuman yang dijatuhi terhadap Raman oleh Mahkamah Sesyen.

"Tidak ada kesalahan undang-undang dan fakta yang boleh dirayu untuk membenarkan campur tangan rayuan,” katanya.

Iklan

Raman, 48, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah di Melaka pada 7 Disember 2018 atas tiga pertuduhan memiliki dadah.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kenari Jaya Utama, Taman Kenari Jaya, Durian Tunggal, Melaka pada 2 petang, 30 Mei 2017.

Raman dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama memiliki 102.01 gram kanabis.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua memiliki 1.93 gram metahmphetamine, dia dikenakan hukuman penjara setahun dan bagi pertuduhan ketiga memiliki 1.14 gram heroin dan monoacetylmorphine, dia juga diarah menjalani hukuman penjara setahun.

Mahkamah Sesyen memerintahkan Raman menjalani hukuman penjara itu serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Mei 2017.

Mahkamah Tinggi Melaka menolak rayuannya pada 11 Januari tahun lepas.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Aisamuddin Abdul Rahman, manakala Raman diwakili peguam Datuk Amardas Jethanand dan Yok Jiang Lin. - Bernama