Pelatih AMD dikhuatiri lemas sempat 'reunion'

Iklan
Mohd Amri Zakuan ketika menceritakan kejadian rakannya, Muhammad Saiful Ezzudin yang lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama di Sungai Ketil, petang Rabu. - Foto Bernama

BALING - [DIKEMAS KINI] Pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang dikhuatiri lemas dibawa arus deras ketika mandi di Sungai Ketil dekat sini pada Rabu sempat mengadakan pertemuan semula (reunion) dengan empat rakannya setelah tiga tahun tidak berjumpa.

Seorang daripada rakan mangsa Mohd Amri Zakuan Ahmad, 14, berkata, sebelum kejadian itu mereka berlima termasuk mangsa, Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa, 14, bertemu serta mandi di sungai berkenaan.

Iklan
Iklan

Mohd Amri Zakuan berkata, ketika mandi bersama di sungai itu, mangsa tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik malah kelihatan ceria bersama rakan lain, namun rakannya itu tiba-tiba hilang daripada pandangan selepas 30 minit mandi manda di situ.

"Ketika mandi air paras pinggang dan dia berenang seperti biasa tiba-tiba dia hilang daripada pandangan kami. Kami turun mencari kira-kira 20 minit tetapi tidak ditemukan lalu memaklumkan kejadian ini kepada ibu bapanya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Iklan

Mohd Amri Zakuan berkata, dia bersama rakan lain sedih dengan kejadian menimpa Muhammad Saiful Ezzudin itu malah menyifatkan mangsa seorang rakan yang baik dan suka membantu serta ringan tulang.

Sementara itu, Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Rahimi Ali berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan sepanjang Sungai Ketil hingga Sungai Limau iaitu diperluaskan kepada jarak tujuh kilometer di Kampung Sungai Limau.

"Pelbagai agensi penyelamat turut terlibat termasuk Bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Unit Scuba, Jabatan Rela, polis dan penduduk turut membantu. Operasi mencari diteruskan sejak jam 8 pagi tadi dan usaha mencari mangsa masih diteruskan di sepanjang Sungai Ketil,” katanya.

Iklan

Muhammad Saiful Ezzudin dikhuatiri lemas ketika mandi manda bersama empat rakannya di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu, Batu 48, Bongor itu kira-kira jam 1 petang Rabu sebelum pihak bomba menerima laporan kejadian itu pada jam 4.11 petang. - Bernama