Perintah perceraian, nafkah serentak perlu kerjasama pihak terlibat

Iklan
Musa Awang

SHAH ALAM - Cadangan kerajaan supaya hakim mahkamah syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak boleh dilaksanakan sekiranya mendapat kerjasama pihak terlibat.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, antaranya membabitkan pihak litigan, mahkamah syariah termasuk peguam-peguam syarie dengan meletakkan matlamat memberikan keadilan sebagai keutamaan.

Iklan
Iklan

"Amalan sekarang ini, satu persatu kes difailkan ke mahkamah, iaitu diselesaikan kes perceraian terlebih dahulu kemudian barulah difailkan tuntutan nafkah idah dan nafkah anak-anak.

"Tuntutan nafkah akan memakan masa yang lama sekiranya ada pertikaian antara pihak-pihak berhubung jumlah atau kadar nafkah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Pada Rabu, kerajaan bersetuju mencadangkan supaya hakim mahkamah syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi mengelakkan masa yang terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu itu sehingga bekas isteri dan anak-anak tidak mendapat keadilan.

Iklan

Mengulas lanjut, Musa menjelaskan, tuntutan perceraian di mahkamah syariah kebiasaannya akan tergolong dalam tiga kategori.

"Pertama, pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, kedua, perceraian dengan talak atau Perintah (Seksyen 47 Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam) dan ketiga perceraian secara taklik (berdasarkan taklik surat nikah) atau fasakh (pembubaran perkahwinan dengan perintah hakim) dan li’an.

"Pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, semasa isteri hadir untuk memfailkan tuntutan pengesahan perceraian, boleh dapatkan kepastian daripada isteri sama ada berlaku rujuk semula dengan pasangan.

"Jika tidak berlaku rujuk atau perceraian talak tiga, maka isteri boleh dinasihatkan untuk memfailkan sekali tuntutan nafkah idah dan/atau nafkah anak-anak.

"Kes-kes yang difailkan tersebut boleh ditetapkan serentak pada tarikh pendengaran yang sama. Dalam memutuskan jumlah nafkah idah dan/atau kadar nafkah anak-anak, hakim boleh mendapatkan persetujuan pihak-pihak untuk dijadikan sebagai perintah mahkamah,” katanya.

Tambahnya, di bawah kategori kedua, jika sesuatu tuntutan perceraian difailkan isteri, maka dia perlu menyatakan kadar nafkah idah dan kadar nafkah anak-anak yang hendak dituntut.

Sebaliknya, jika difailkan oleh suami, maka suami perlu mencadangkan kadar nafkah idah isteri dan nafkah anak-anak yang akan dibayar setelah bercerai.

"Semasa membenarkan suami melafazkan cerai, Hakim boleh mendapatkan persetujuan pihak-pihak berdasarkan apa yang dinyatakan dalam dokumen permohonan cerai berkenaan kadar nafkah idah dan/atau nafkah anak-anak untuk dijadikan perintah mahkamah.

"Perceraian kategori ketiga pula mungkin sukar diputuskan serentak kerana dalam kes-kes sebegini kadang-kadang ia diputuskan tanpa kehadiran suami (ghaib, hilang atau tidak hadir),” ujar beliau.