Ah long ugut bakar rumah warga emas

Iklan
Pekarangan rumah dan motosikal milik penyewa disimbah cat merah dalam kejadian di Taman Muhibbah, Ulu Tiram, Johor Bahru, pada 19 Mac lalu.

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas bimbang keselamatan penyewa rumahnya di Taman Muhibbah, Ulu Tiram di sini selepas ah long mengugut akan membakar kediaman itu jika tidak melangsaikan hutang.

S Ramaiah, 84, berkata, ah long berkenaan juga angkuh dan tidak takut apabila diberitahu dia akan melaporkan ugutan itu kepada pihak polis.

Iklan
Iklan

Dia dan penyewa tersebut tidak pernah berurusan atau meminjam wang daripada ceti haram itu tetapi terkejut apabila pekarangan rumah sewa serta motosikal disimbah cat merah pada jam 8 pagi, 19 Mac lalu.

"Saya menghubungi nombor telefon dipercayai milik seorang ahli sindiket ceti haram bagi mendapatkan penjelasan. Mengikut nota ditinggal, mereka memberi amaran kepada seorang lelaki yang disertakan nama serta dicatat alamat jiran.

Iklan

"Alamat jiran itu kini tidak berpenghuni dan saya juga tidak kenal nama lelaki yang dinyatakan," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Menurutnya, apabila dia menghubungi ah long berkenaan, seorang lelaki memakinya dengan perkataan lucah malah mencabarnya untuk membuat laporan polis.

Iklan
Sekeping nota ugutan yang tertera nama dan alamat ditinggalkan ah long berkenaan di hadapan rumah mangsa di Taman Muhibbah, Ulu Tiram, Johor Bahru.

"Dia juga menyindir supaya saya meminta ketua polis memantau rumah tersebut selama 24 jam.

"Malah dia juga ugut mahu membakar rumah selain kawasan perumahan itu sekiranya peminjam wang tidak melangsaikan hutang," katanya.

Bimbang dengan keselamatan penyewa rumahnya, dia membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, penyewa rumah warga emas itu iaitu seorang lelaki memaklumkan pada 19 Mac lalu rumah sewanya disimbah cat warna merah dan turut terima satu notis ugutan.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan alamat dalam notis ugutan terbabit adalah alamat rumah jiran pengadu selain menafikan terbabit dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen.

"Kes masih disiasat di bawah seksyen 427/507 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara selama tempoh tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataan.