Covid-19: 96 peratus proses pemulihan dilakukan di rumah

Iklan
Proses pemulihan bagi kes-kes positif Covid-19 di Malaysia kebanyakannya dilakukan di rumah dengan 96 peratus kes aktif di negara ini dipantau dari rumah individu berkenaan. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Proses pemulihan bagi kes-kes positif Covid-19 di Malaysia kebanyakannya dilakukan di rumah dengan 96 peratus kes aktif di negara ini dipantau dari rumah individu berkenaan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, hanya kes teruk sahaja yang memerlukan rawatan di hospital.

Iklan
Iklan

"Ini membawa Malaysia kepada pengumuman pembukaan sempadan pada 1 April ini, dan banyak lagi sekatan akan dilonggarkan. Bagaimanapun, Malaysia akan terus mematuhi nasihat dan mandat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar mengekalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim semasa lawatan kerja Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung ke Institut Kesihatan Negara (NIH) di sini pada Khamis.

Iklan

Dr Noor Azmi berkata, setakat ini, sebanyak 79 peratus atau 25,786,987 populasi Malaysia telah lengkap divaksin dan daripada jumlah itu, 97.5 peratus atau 22,943,182 populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) serta 91.4 peratus atau 2,843,805 remaja (12 hingga 17 tahun) telah lengkap vaksinasi.

"Terdapat 15,483,571 atau 65.8 peratus populasi dewasa yang telah melengkapkan vaksin siri primer telah mengambil suntikan dos penggalak dan 1,263,287 atau 35.6 peratus kanak-kanak berusia lima hingga kurang 12 tahun menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata, berdasarkan perkembangan ini, Malaysia sememangnya sudah bersedia untuk beralih ke fasa endemik Covid-19 kerana ia merupakan ‘exit strategy’ bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan hampir normal selepas lebih dua tahun berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Iklan

Sementara itu, Ye Kung dalam ucapannya berkata, Malaysia dan Singapura telah bekerjasama sepanjang krisis pandemik.

"Apabila trafik sempadan darat terganggu akibat virus Covid-19, pihak berkuasa Singapura bertindak dengan menempatkan puluhan ribu rakyat Johor yang bekerja di Singapura, kerana mereka tidak dapat berulang-alik setiap hari merentasi tambak. Kami memastikan bekalan penting dan komponen kritikal terus disalurkan.

"Saya dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sentiasa berhubung, saling memaklumkan mengenai situasi di negara kita dan maklum balas masing-masing. Saya banyak belajar daripada pertukaran maklumat dengan beliau,” katanya.

Ye Kung berkata, pelancaran suntikan vaksinasi di Malaysia telah dilakukan dengan sangat baik dan mempersiapkan negara untuk beralih ke fasa endemik dan beliau juga berharap agar kedua-dua negara bangkit dengan lebih kuat daripada pandemik ini. - Bernama