PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap berusaha mahu memastikan penyokong Harimau Malaya membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.
Justeru, FAM telah mengemukakan surat rayuan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak kerajaan untuk membenarkan kehadiran penuh penyokong ke stadium.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, rayuan itu dibuat selepas pihaknya menganggap ia sesuatu yang wajar diberi pertimbangan memandangkan kerajaan sudah melonggarkan prosedur standard operasi (SOP) bagi Covid-19 bermula 1 April ini.
"Selepas dua tahun tiada aksi di peringkat antarabangsa, sudah tentu kita harap kali ini penganjuran (Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023) dapat dilakukan dengan kapasiti penuh kehadiran penonton.
"Namun, kita masih lagi menunggu kerana SOP sebenar masih belum keluar tetapi buat masa sekarang, langkah pertama adalah menghantar permohonan kepada KBS dan kita tunggu maklum balas selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis. Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram.
Dalam satu sidang media pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini setelah mengambil kira pelbagai faktor serta penilaian risiko yang telah dilakukan.
Keesokan harinya, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam memaklumkan, SOP kemasukan penonton ke stadium masih kekal seperti biasa sebelum pindaan dilakukan sebaik menerima SOP terbaharu daripada KBS.
Mengulas lanjut, Mohd Saifuddin memberitahu, kejohanan bola sepak yang berlangsung di negara ini akan kekal menggunakan konsep gelembung sukan.
"Walaupun 1 April nanti SOP Covid-19 sudah dilonggarkan apabila kerajaan membuka sempadan negara buat pengembara luar, namun sebagai badan sukan, kita akan tetap menggunakan konsep gelembung sukan.
"Ia sesuai dengan SOP yang dicadangkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Pasukan tak perlu kuarantin tapi hanya diasingkan jika positif Covid-19,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin mengumumkan Stadium Nasional bakal menjadi venue rasmi manakala Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras diletakkan dalam keadaan ‘bersedia’ dalam kempen kelayakan tersebut.
"Setakat ini kita dah persetujui, Stadium Nasional, Bukit Jalil akan jadi venue rasmi bagi aksi Kelayakan Piala Asia manakala Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai venue standby kalau ada apa-apa berlaku,” jelasnya.
Dalam kempen kelayakan itu, Malaysia diberi status selaku tuan rumah Kumpulan E yang menyaksikan Harimau Malaya diundi bersama-sama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.