BEBERAPA hari ini kecoh pula isu beg sekolah satu jenama yang terkenal. Merak Jalanan namakan beg tersebut sebagai jenama A.
Kononnya, ada murid guna beg sekolah jenama A tak mahu berkawan dengan murid yang pakai beg sekolah jenama B (lebih murah dan mampu milik). Amboi, kalaulah cerita itu benar, nampak sangat kecil-kecil lagi dah pandai memilih dan beza-bezakan kawan.
Sebenarnya beg sekolah jenama apa pun tak salah. Pakailah jenama A, B atau C, murah atau mahal kerana yang tersangat penting adalah didikan mak ayah dalam hal-hal sebegini.
Tak perlulah nak beritahu anak:"Nanti pergi sekolah elok-elok, beg ni harga RM300 tau.”
Cukuplah sekadar pesan kepada anak-anak agar belajarlah rajin-rajin, kawan dengan semua orang, jangan bergaduh dan dengar cakap cikgu.
Kita kena ingat, ada ibu bapa yang mampu, ada juga yang kurang mampu, ada juga yang hanya pakai beg bantuan yang disumbangkan pihak-pihak tertentu.
Jika mampu dan terasa nak beli, itu adalah hak ibu bapa. Yang penting, berbelanjalah ikut kemampuan masing-masing.
Dalam hal ini, ibu bapa kenalah terapkan adab dan nilai-nilai murni agar anak tahu meraikan perbezaan, sentiasa bersyukur dan menghormati pilihan atau hak orang lain.
Adab sopan tak boleh dibeli di kedai. Memang kena didik dari rumah. Itulah tugas ibu bapa yang kena membentuk tingkah laku anak-anak.
Jangan memperkecilkan kawan-kawan yang tidak mampu.
Realitinya, tak ada pun yang mengatakan semakin mahal beg sekolah, semakin ringan bahu yang memikul. Beg mahal bukan penentu kejayaan mahupun kecerdikan anak-anak.
Sama juga seperti sekolah kebangsaan atau sekolah swasta. Dua-dua pun sekolah. Yang penting pergi sekolah untuk belajar dan menuntut ilmu.