PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Satu pertemuan antara menteri-menteri UMNO berlangsung di sebuah hotel terkemuka dekat sini pada Jumaat.
Bagaimanapun tiada maklumat jelas mengenai fokus yang menjadi perbincangan dalam pertemuan tersebut.
Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat pergerakan masuk kenderaan kenamaan dan pegawai pengiring seawal jam 8 pagi.
Antara yang hadir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Saddiq.
Bagaimanapun tiada kelibat Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid kelihatan.
Difahamkan pertemuan itu langsung selama sejam sebelum masing-masing meninggalkan hotel berkenaan jam 9.50 pagi.
Pemimpin UMNO tersebut bagaimanapun dilihat terkejut dengan kehadiran pemberita malah ada mengelak untuk didekati.
Ketika ditanya, Annuar menafikan ada pertemuan di antara mereka.
"Mana ada. Datang sarapan sahaja," katanya.
Seramai 11 menteri termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO berada dalam kabinet.