"DIA hanyalah kenalan dan bekas pekerja saya... Tiada apa-apa antara kami.”
Itu penjelasan Rashidi Ishak selepas tersebar gosip kononnya dia menjalin hubungan dengan seorang gadis, ketika berita perceraiannya dengan bekas isteri, Vanidah Imran, hangat diperkatakan, sejak malam tadi.
Memetik Berita Harian Online, tampil memberi penjelasan, Rashidi memberitahu, gadis dikenali sebagai Fify Azmi adalah bekas pekerjanya ketika bertugas di stesen radio internet, Peace Yall FM.
"Saya dihujani panggilan telefon dan mesej yang bertanyakan hubungan saya dengan Fify.
ARTIKEL BERKAITAN: Perkahwinan 17 tahun berakhir: Rashidi Ishak
"Apa yang berlaku adalah ketika mencari idea untuk mempromosikan produk minyak wangi yang saya usahakan, saya terfikir mendapatkan bantuan Fify.
"Saya tahu, kalau hendak membayar artis daripada kategori A, bayaran mereka tinggi. Jadi, saya minta bantuan Fify untuk membantu menjayakan promosi produk ini,” katanya.
Spekulasi hubungan Rashidi dengan Fify hangat diperkatakan apabila paparan skrin daripada Instagram dipercayai milik Fify Azmi, tersebar.
Entri terbabit menunjukkan Rashidi dan Fify bergambar berdua dengan produk minyak wangi, Starrasky, sebagai kempen memperkenalkan barangan itu.
Penyebaran foto itu pantas mengundang spekulasi ramai kononnya Rashidi menjalin hubungan dengan Fify sehingga rumah tangganya dengan Vanidah, bermasalah.
Rashidi berkata, dia kasihankan Fify yang menjadi mangsa kecaman netizen rentetan berita perpisahannya.
"Saya sangat simpati dengannya. Kami tak ada apa-apa hubungan, malah saya juga tidak mempunyai mana-mana teman istimewa ketika ini,” katanya.
Malam tadi, Rashidi mengumumkan dia dan Vanidah bercerai di Mahkamah Syariah di sini, 9 Ogos tahun lalu.
Melalui perkongsian di Instagram, Rashidi berkata, dia tidak berniat untuk merahsiakan berita perpisahan mereka, sebaliknya berbuat demikian demi menjaga perasaan dan privasi kedua-dua pihak.
Menerusi perkongsian sama, bintang filem Cinta itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada dirinya dan bekas isteri.
Mengenai punca keruntuhan mahligai yang dibina sejak 17 tahun lalu itu, Rashidi memberikan bayangan ia disebabkan kegagalannya sebagai ketua keluarga.
Mengulas lanjut perceraiannya dengan Vanidah, Rashidi berkata, pada suatu peringkat, selepas berkahwin selama 17 tahun, dia dan Vanidah masing-masing berasakan mereka lebih bersikap individualistik, berbanding sebagai pasangan suami isteri.
"Selepas berbincang bersama, kami fikir, ini cara terbaik (berpisah). Daripada memendam rasa, lebih baik kami berundur daripada ikatan ini,” katanya.
Rashidi berkata, dia dan bekas isteri, berbincang dengan dua anak mereka, Mikhail Imran, 18 dan Maryam Rashika, 15, sebelum membuat keputusan berpisah.
"Kami rujuk masalah ini kepada semua orang dalam keluarga dan anak-anak. Mereka menerima keputusan ini,” katanya yang masih menguruskan keperluan Mikhail dan Maryam, terutama menghantar mereka ke sekolah, setiap hari.
Ditanya apakah pengakuan dirinya kini bergelar duda dibuat sebagai gimik filem terbarunya, Bu.
"Saya simpan entri dalam akaun Instagram (IG) ini sejak tiga bulan lalu. Ketika mula menulisnya, saya fikir tidak sesuai untuk ia dimuat naik, apatah lagi ketika itu, Vanida berada di Tokyo, Jepun, untuk menyertai acara maraton.
"Sehinggalah malam tadi, baru saya membuat keputusan entri ini perlu dikongsi. Saya bertanggungjawab untuk menghebahkan perkara ini (perceraian dengan Vanidah) kepada semua orang.”
Sekitar tahun lalu, bertebaran desas-desus mengenai keruntuhan rumah tangga pasangan pelakon ini. Namun, mereka memilih untuk tidak mengulas mengenai khabar angin terbabit.
Rashidi, 45, dan Vanidah, 46, mendirikan rumah pada 1 Oktober 2000.