GEORGETOWN - Hanya takut dimarahi keluarga kerana hamil, seorang remaja sanggup membuat laporan palsu kononnya dia disamun dan dirogol dalam kejadian pada tahun lalu.
Kes melibatkan remaja berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah itu adalah salah satu daripada 100 kes laporan palsu yang direkodkan oleh Polis Pulau Pinang sepanjang tahun 2021.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, selain daripada kes tersebut, 99 kes laporan palsu yang direkodkan melibatkan pelbagai motif antaranya kehilangan kad pengenalan dan salah guna wang.
"Mengikut statistik, sebanyak 463 kes samun dilaporkan sepanjang tahun lalu namun apabila disiasat, 100 daripadanya didapati laporan palsu termasuk remaja yang mendakwa telah disamun dan dirogol.
"Pecahan kes adalah 74 kes melibatkan kehilangan kad pengenalan, salah guna wang (lapan), elak bayar hutang (empat), lima kes melibatkan kehilangan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), terlibat pergaduhan (tiga), ponteng kerja (dua), tuntutan insurans (dua), mengandung (satu) dan restu keluarga untuk berkahwin (satu).
"Dengan pecahan itu, jumlah peratusan laporan palsu yang diterima sepanjang tahun lalu adalah 21.6 peratus," katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.
Katanya, 11 kes laporan palsu melibatkan samun direkodkan sepanjang dua bulan pada tahun ini.
"Sebanyak 11 kes tersebut melibatkan kehilangan kad pengenalan (dua); hilang pasport (dua) dan masing-masing satu untuk tuntutan insurans, ditipu pelaburan dan salah guna harta.
"Kita membuang masa untuk menyiasat kes yang tidak berlaku. Kesalahan ini adalah serius.
"Mereka yang didapati membuat laporan palsu boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.
Mohd Shuhaily berkata, dengan jumlah keseluruhan laporan kes samun itu, ia memberi gambaran bahawa Pulau Pinang tidak selamat sedangkan 21.6 peratus daripadanya adalah laporan palsu.
Sebelum itu, Mohd Shuhaily melancarkan Sambutan Hari Polis ke-215 di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan 'Soft Launching Penang 2nd Bridge PDRM 2022 Solidarity Fun Ride' di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini.
Dalam ucapannya, Mohd Shuhaily meminta semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang sentiasa menjaga tahap integriti ketika melaksanakan tugas selaras dengan hasrat Ketua Polis Negara.
"Misi yang dipegang adalah polis sentiasa bekerjasama dengan masyarakat supaya mereka lebih selesa dengan kami dalam menyalurkan maklumat.
"PDRM Pulau Pinang juga ketika ini bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan universiti itu bagi mengkaji serta menambah baik perkhidmatan polis (Pulau Pinang) dalam konteks lebih tersusun dan lebih ilmiah akan perihal pemasalahan dalam masyarakat," katanya.