38 PATI baru mendarat ditahan

Iklan
Sebahagian PATI yang ditahan pihak berkuasa di kawasan kebun kelapa sawit Kampung Parit Baru Sungai Air Tawar pada Khamis.

SABAK BERNAM - Hasrat 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja ke negara ini tidak kesampaian apabila ditahan pihak berkuasa di kawasan kebun kelapa sawit Kampung Parit Baru Sungai Air Tawar di sini pada Khamis.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Superintendan Rizal Mohamed berkata, semua ditahan jam 4 pagi selepas pasukannya bersama cawangan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) melakukan rondaan di kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan berjaya menahan seramai 18 lelaki dan 20 wanita berusia lingkungan 19 hingga 57 tahun.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka dipercayai baru masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan menggunakan jalan laut dengan menaiki bot," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Katanya, semua yang ditahan itu dipercayai mencari pekerjaan di negara ini sebagai buruh binaan, pembantu rumah dan kedai makan.

"Malah, ada dalam kalangan mereka sudah bekerja sebelum ini dan masuk ke negara ini secara sah tetapi telah balik semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan masuk semula secara haram," jelasnya.

Iklan

Menurut beliau, semua yang ditahan dipercayai membayar sebanyak RM2,000 bagi lelaki dan RM3,000 wanita untuk menyeludup masuk ke negara ini.

"Tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Sungai Besar, Sabak Bernam untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.